SANDAKAN – Lima pendatang asing tanpa izin ditahan di perairan Laut Sulu dalam kawasan ESSZONE pada jam 3.10 petang semalam selepas dipercayai cuba memasuki negara ini secara haram.
Tangkapan dibuat sepasukan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika melaksanakan operasi mengawasi keselamatan di perairan laut berkenaan.
Komander Markas Pangkalan Sandakan, Laksamana Pertama Ahmad Abdullah, berkata selepas pemeriksaan pihaknya mendapati tiga orang awak-awak berumur antara 21 hingga 28 tahun tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.
Katanya, semua awak-awak yang disoal siasat itu kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan TLDM Sandakan untuk diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).
Terdahulu, beliau berkata bot terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dikejar dan dipintas Kapal Diraja (KD) Sri Perlis kira-kira lima batu nautika ke timur laut Pulau Berhala atau 8.2 batu nautika dari sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Filipina. – BH Online

