Seorang lelaki bernama Xiao Yongsheng adalah seorang pemilik sebuah rumah pantai kecil berbentuk tradisi cina di Pulau Lingshan, pantai Qingdao dalam wilayah Shandong di China, memetik paparan laman web Oddity Central.
Uniknya, Xiao menghias rumahnya tidak seperti orang lain. Dia menghabiskan masa selama dua tahun untuk menghias setiap inci rumahnya yang berkeluasan 1,500 meter persegi dengan kulit dan cangkerang siput.
Dia tidak mahu membazirkan ribuan Yuan untuk menghias rumahnya dan mengambil keputusan mengutip cangkerang-cangkerang itu di tepai pantai berhampiran rumahnya.
“Saya memang menyukai cangkerang siput tetapi tidak pernah saya terfikir untuk menggunakannya menghias rumah sehinggalah satu pagi saya berjalan di tepi pantai dan menemui cangkerang yang pelbagai warna, saya terus terfikir melakukannya,” katanya yang berusia 58 tahun.
[BACA – Apabila Papan Iklan Menjadi Rumah Gelandangan, Hebatkan?]
Menurut Xiao, ketika itu barulah dia sedar bahawa dia tinggal hanya bersebelahan dengan tempat yang boleh ditemui banyak bekalan bahan binaan yang cantik.
“Saya gunakan kesemuanya, untuk hiasan, untuk bumbung, tempat pemegang, dan juga saya hancurkan untuk membuat lantai mosaic,” katanya.
Dia berkata, tujuannya bukanlah mahu menjadikan rumahnya tumpuan orang ramai tetapi dia hanya mahu menjadikan rumahnya cantik untuk dirinya sendiri.
Ketika ini, Xiao sedang menggunakan rumah itu sebagai muzium mempamerkan sejarah pulau berkenaan dan juga cara hidup harian seorang nelayan tempatan.
Rumahnya yang dihias cantik dengan dengan cangkerang siput itu kini menjadi tumpuan pelancong di Pulau Lingshan. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K




