BUKIT MERTAJAM – Polis menumpaskan geng curi motosikal selepas menahan dua lelaki dan merampas motosikal dan pelbagai komponen kenderaan itu dalam serbuan di Taman Sentul, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata bertindak hasil risikan, pasukan khas curi motosikal menyerbu rumah berkenaan pada 1 pagi dan menahan dua lelaki berusia 26 dan 30 tahun.
“Ketika serbuan dua lelaki yang dipercayai geng curi motosikal itu sedang tidur dan pemeriksaan polis di luar rumah sewa mereka itu menemui sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dilapor hilang di Bukit Mertajam baru-baru ini yang telah dipasang nombor pendaftaran palsu.
“Pasukan berkenaan juga turut menemui satu set penutup motosikal, lapan batang ekzos, enam unit tangki minyak, enam unit rim motosikal dan empat unit penghadang angin motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan polis menemui pelbagai lagi komponen motosikal yang dipercayai dileraikan daripada motosikal curi sebelum dijual kepada pihak tertentu.
“Pelbagai komponen motosikal yang ditemui disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan, antaranya enjin, penutup, karburetor, kotak udara dan cukai jalan motosikal,” katanya.
Rusli berkata siasatan awal polis mendapati dua lelaki itu menjalankan aktiviti mencuri motosikal sejak beberapa bulan lepas dan menjadikan kawasan pusat membeli-belah untuk mencuri.
Katanya modus operandi mereka adalah dengan mencuri motosikal dan menjual dengan harga murah atau meleraikan komponennya sebelum menjual kepada pihak tertentu.
“Dua lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini direman bagi membantu siasatan dan polis percaya penahanan berkenaan dapat menyelesaikan beberapa kes curi motosikal yang berlaku di daerah ini,” katanya. – BERNAMA

