MELAKA – Kerajaan Melaka akan menaik taraf sembilan bangunan kerajaan negeri dan anak syarikatnya bagi mematuhi piawaian hijau antarabangsa dengan peruntukan RM30 juta, mulai tahun depan.
Bangunan tersebut termasuk Seri Negeri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Graha Maju, Melaka Sentral dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, langkah itu selaras dengan hasrat menjadikan Melaka negeri teknologi hijau selain mengurangkan penggunaan elektrik dan perbelanjaan berlebihan.
“Pelaksanaan kerja menaik taraf bangunan tersebut akan dilakukan secara berperingkat dengan peruntukan disalurkan kerajaan Denmark melalui Danish Climate Investment Fund,” katanya selepas merasmikan Klinik Seri Negeri di sini, hari ini.
Memberi contoh, bangunan Seri Negeri yang merupakan pusat pentadbiran negeri, Idris berkata bangunan itu akan dinaik taraf dengan penggunaan system penyejukan berpusat (DCS) bagi menggantikan penggunaan pendingin hawa.
Mengulas lanjut, Idris berkata berkata kesemua bangunan tersebut juga akan dilengkapi kolam tadahan dan takungan air yang akan digunakan bagi kerja mencuci dan pembersihan serta menyiram tumbuh-tumbuhan.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata penubuhan Klinik Seri Negeri di
Bangunan Ketua Menteri di sini bertujuan memberi kemudahan rawatan kepada kira-kira 400 kakitangan kerajaan negeri di bangunan tersebut.
Beliau berkata, klinik yang akan dikendalikan seorang pembantu perubatan dan jururawat itu menyediakan perkhidmatan rawatan awal kecemasan dan penyakit ringan seperti demam, cirit-birit dan sakit perut.
Ia beroperasi mulai 8 pagi hingga 1 petang pada Isnin hingga Khamis manakala 8 pagi hingga 12.15 tengah hari pada Jumaat. – BERNAMA

