KUALA LUMPUR – Orang ramai yang masih belum membayar kompaun kesalahan tempat letak kereta Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diminta berbuat demikian sebelum 31 Oktober 2014 atau berhadapan tindakan mahkamah.
Yang Dipertua MDKL, Mohd. Azhar Mohamed Ali berkata, bagi Januari hingga September 2013 sahaja, MDKL telah mengeluarkan sebanyak 28,001 notis kompaun dengan jumlah kutipan telah dibayar sebanyak 10,195 kompaun.
Manakala bagi Januari hingga September 2014 pula, MDKL telah mengeluarkan sebanyak 31,288 notis kompaun dengan kutipan telah dibayar sebanyak 12,842 kompaun.
“Daripada jumlah tersebut pula, sebanyak 17,806 notis kompaun bagi Januari hingga September 2013 masih belum dijelaskan dan sejumlah 18,446 notis kompaun yang masih belum dijelaskan dari Januari hingga September 2014.
“Manakala bagi Oktober 2013 sahaja, sejumlah 3,592 kompaun tempat letak kereta telah dikeluarkan dengan 1,148 kompaun telah dibayar dan bagi 1 Oktober hingga 24 Oktober 2014 pula sebanyak 3,357 kompaun dikeluarkan dengan jumlah kompaun yang telah dibayar sebanyak 2,014 kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azhar, orang ramai diminta memanfaatkan tempoh sebelum 31 Oktober ini bagi menjelaskan kompaun tertunggak itu kerana tawaran pengurangan bayaran kompaun tempat letak kereta pada kadar harga RM10 bagi setiap kompaun.
Beliau menambah, MDKL telah mendaftarkan tindakan mahkamah terhadap 127 kes di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Daerah Kuala Langat) 2007 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tindakan selanjutnya dan boleh dikenakan denda maksimum RM300.
Sehubungan itu, katanya, pemilik kompaun bole membuat bayaran di Kaunter Ibu Pejabat MDKL dan di Pejabat Penguatkuasa Telok Datok sepanjang Oktober ini.
“Kaunter-kaunter ini beroperasi seawal pukul 8.30 pagi hingga 4 petang dan semakan juga boleh dibuat di www.mdkl.gov.my,” katanya. – mynewshub.cc

