Lelaki yang dikatakan ada kaitan dengan kes letupan bom tangan di Bukit Bintang yang dikenali sebagai Ah Hai, tampil memberi keterangan kepada polis semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa menurut laporan Agenda Daily berkata, keterangan Ah Hai direkodkan polis dari pukul 9 malam hingga pukul 11.45 malam.
“Dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata ACP Khairi.
Dalam beberapa laporan berita sebelum, Ah Hai disebut sebagai orang penting dan sasaran serangan itu.
[BACA – Pergaduhan Kumpulan Samseng Punca Insiden Letupan Bom]
Ah Hai telah pun mengetuai satu kumpulan kongsi gelap selama lebih dari dua dekad.
Agenda Daily melaporkan, Ah Hai, seorang lelaki yang berusia 53 tahun dipercayai dari Geng 21 telah menjalankan perniagaan haram termasuk perjudian.
Dalam kejadian itu, seorang daripada 13 mangsa meninggal dunia dan ada dua lagi mangsa masih dirawat di hospital manakala 10 lagi telah dibenarkan keluar dari hospital.
“Polis mahu mendapatkan kerjasama daripada klinik atau hospital swasta yang menerima dan memberikan rawatan kepada mana-mana pesakit yang cedera akibat terkena serpihan bom untuk tampil membuat laporan atau memberikan maklumat kepada mana-mana Balai Polis berhampiran bagi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan.
“Selain itu, kepada mana-mana individu yg cedera atau mengalami kerosakan harta benda semasa kejadian tersebut, yang belum membuat laporan polis juga adalah di nasihatkan untuk tampil membuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ACP Khairi berkata dalam siasatan kes itu, seramai 17 orang telah dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan mereka.
“Polis sedang meneliti rakaman CCTV yang terdapat di tempat kejadian dan sekitar laluan tempat kejadian bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian ini.
“Usaha-usaha penelitian CCTV ini turut disertai oleh unit Forensik PDRM,” kata beliau.
Dalam kejadian pukul 4.25 pagi itu, berlaku letupan di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Bukit Bintang, membunuh seorang joki kereta.
Ah Hai dikatakan berada di dalam kelab ketika kejadian berlaku tetapi tidak cedera.
The Star melaporkan sumber percaya bahawa Ah Hai cuba untuk menjalankan operasi secara sah dengan menjalankan perniagaan seperti pembangunan hartanah dan import makanan.
“Beberapa tahun lalu, dia berhenti menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu yang menyalahi undang-undang dan mungkin telah menimbulkan kemarahan kumpulan-kumpulan saingan kerana dia menceroboh ke dalam wilayah mereka apabila mengembangkan perniagaannya,” kata sumber.
Sumber lain menyamakan Ah Hai dengan filem fiksyen Michael Corleone, Godfather.
“Dia cuba untuk membersihkan perbuatannya tetapi perbuatan silam datang menghantuinya,” katanya.
Dalang yang melemparkan bom tangan masih bersembunyi, tetapi polis berkata yakin dia dapat ditangkap. – MYNEWSHUB

