LONDON – Manchester United boleh melupakan hasrat untuk mendapatkan bintang tengah AS Roma yang juga pemain antarabangsa Belanda, Kevin Strootman pada jendela perpindahan depan, kata kelab Itali itu kepada BBC.
United yang ketika ini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan Belanda, Louis van Gaal kuat dikaitkan dengan Strootman yang ketika ini masih bergelut selepas berdepan kecederaan lutut serius pada Mac lalu.
“Ia tidak akan berlaku,” kata Presiden Roma, James Pallotta ketika Persidangan Pemimpin-Pemimpin Bola Sepak.
“Saya sudah memberitahu akhbar-akhbar yang mereka sepatutnya jangan membazirkan kertas mereka. Kami tidak pernah berniat untuk menjual Kevin,” katanya.
Strootman, 24 sudah beraksi 25 kali bersama Belanda dan menjadi pemain pilihan Van Gaal bersama Oranje dan kehadirannya di United akan menambah sengat di jentera tengah kelab England itu.
“Jelas sebagai ahli perniagaan apabila orang memanggil kamu dan berkata ‘kami mahukan pemain kamu’, kamu akan mendengarnya daripada mereka,” kata Pallotta.
“Kamu perlu melakukannya, dan itu adalah dari sudut perniagaan. Begitupun, ia tidak bermakna kamu akan membuat bidaan bernilai 75 juta pound (RM393.7 juta).
“Cara ini tidak akan berhasil dan ia bukanlah cara untuk kami. Apa yang kami lihat ialah kami mahu menjadikan pasukan ini hebat dan tidak mengatakan ‘kami perlu membuat wang yang banyak’. Sasaran kami bersama lembaga pengarah ialah kestabilan.” – Reuters