LONDON – Queens Park Rangers menghadiahkan Liverpool kemenangan 3-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas gol sendiri pemain pertahanan mereka, Steven Caulker dan Richard Dunne di Loftus Road.
Dalam satu penyudahan dramatik dengan empat gol dalam tempoh lapan minit, pemain gantian, Eduardo Vargas nampak seperti sudah mengesahkan satu mata untuk QPR selepas dia menjaringkan gol pada minit pertama masa tambahan untuk kedudukan 2-2.
Tidak berputus asa, Liverpool melancarkan serangan pada saat-saat terakhir permainan yang menyaksikan Caulker menolak masuk ke dalam gawang sendiri untuk mengesahkan mata penuh buah anak didik Brendan Rodgers.
Pemain gantian Liverpool, Philippe Coutinho meletakkan The Reds mendahului 2-1 pada minit ke-90 sebelum Vargas menyamakan kedudukan.
Selepas Mario Balotelli merembat melepasi palang pada mini ke-62, Dunne menjaringkan gol sendiri yang juga gol sendiri ke-10 sepanjang kerjayanya.
“QPR tidak harus kalah dalam perlawanan ini. Kami bernasib baik untuk pulang dengan kemenangan tapi kami juga menunjukkan karakter hebat di sini,” kata Rogers.
Pengurus QPR, Harry Redknapp nampak banyak petanda positif dalam kekalahan ketiga berturut-turut buat pasukannya walaupun dia berasa keputusan seri adalah adil, hari ini.
“Ini adalah persembahan terbaik pernah saya saksikan sejak berada di sini,” kata Redknapp. – AP
