KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya memberi jaminan peruntukan sebanyak RM5.95 bilion menerusi Bajet 2015 akan digunakan sebaik mungkin untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan empat projek lebuh raya tahun depan diyakini akan menyumbang ke arah usaha merancak pelaburan awam dan swasta.
Dua daripada projek lebuh raya berkenaan adalah Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang (SUKE) sepanjang 59 kilometer (km) sebanual RM5.3 bilion dan Lebuhraya Pantai Barat dari Taiping ke Banting (WCE) sepanjang 276km (RM5 bilion).
Dua lagi projek itu adalah Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH) sepanjang 47km (RM4.2 bilion) dan Lebuhraya Lingkaran Luar – Hubungan Timur (EKVE) sepanjang 36km (RM1.6 bilion).
.
“Kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri yang terus mendengar denyut nadi rakyat di Sabah dan Sarawak dalam bajet kali ini.
“Peruntukan yang besar berjumlah RM27 bilion untuk pelaksanaan 1,663 km Jalan Pan Borneo membabitkan jajaran sepanjang 936 km di Sarawak dan 727 km di Sabah membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk rakyat di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadillah berkata, peruntukan RM262 juta bagi membiaya kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan harian terutama di Sabah dan Sarawak akan memastikan kos sara hidup tidak membebankan rakyat terutama di luar bandar.

