KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menganggap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak zalim kerana tidak mengambil kira nilai insaniah sewaktu mengusir penduduk di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul keluar daripada kediaman mereka di sini baru-baru ini.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, keputusan mahkamah pada tahun 1998 secara jelas mengesahkan bahawa Kampung Chubadak adalah milik penduduk yang membuka penempatan di kawasan tersebut.
Malah, dakwanya, mahkamah rayuan pada tahun 2000 juga menolak dakwaan bahawa penduduk Kampung Chubadak adalah setinggan dan penceroboh kawasan tersebut.
“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai lalu bagaimanapun memutuskan bahawa penduduk di Kampung Chubadak ini adalah setinggan dan bukan pemilik tanah yang sah.
“AMK kesal apabila Kampung Chubadak disenaraikan sebagai kawasan setinggan dalam Rancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 sehingga membawa kepada pengusiran penduduk,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, AMK menganggap tindakan DBKL memaksa pengambilalihan tanah kawasan tersebut tanpa menghormati kemuliaan insaniah satu perbuatan yang zalim.
Katanya, jika benar pengambilalihan kawasan itu perlu dibuat untuk memberi laluan kepada pembangunan rumah kos rendah maka penduduk di kawasan tersebut tidak patut diusir.
“Apa yang sepatutnya dibuat ialah bukan pengusiran, tetapi pemindahan sementara dan jaminan bahawa setiap penduduk akan diberikan satu unit rumah sebagai pampasan kepada pengambilalihan tanah mereka,” katanya.

