PEMBUAT filem Malaysia disaran menghasilkan filem bebas dan berkualiti berdasarkan minat dan kejujuran untuk menagih pengiktirafan antarabangsa.
Pengeluar filem Hollywood dan pemenang dua Anugerah Akademi Roger Christian berkata, adalah penting pengeluar menghasilkan cerita yang menjadi kebanggaan mereka dan bukan hanya mahu memenuhi permintaan pasaran.
Beliau memberi contoh filem ‘Slumdog Millionaire’, ‘The King Speech’ serta ’12 Years A Slave’ yang memenangi anugerah Oscar sebagai filem terbaik yang dibuat secara bebas.
Beliau memenangi Anugerah Akademi bagi hiasan set dalam filem ‘Star Wars’ dan filem drama pendek terbaik ‘The Dollar Bottom’.
“Studio filem besar mengeluarkan filem untuk keuntungan. Apabila anda meninggalkan pawagam, anda akan melupakan semuanya (filem yang ditonton) dan mahu melihat apa seterusnya.
“Tetapi dengan filem bebas yang dibuat dengan penuh minat, apabila orang meninggalkan pawagam, ia masih menyentuh hati mereka dan kekal diingatan mereka,” kata pencipta cahaya siber dalam filem asal Star Wars ini.
Christian bercakap pada sesi ‘Guru Speak’ KL Converge 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau berkata pembikin filem Malaysia tidak digalakkan untuk membanding industri perfileman di negara ini dengan Hollywood kerana terdapat perbezaan besar terutama dari segi modal untuk mengeluarkan filem.
Beliau berkata pembikin filem perlu tabah dan bekerja dengan idea mereka walaupun terdapat halangan.
“Akan ada orang yang akan berkata tidak kepada kamu.
Tetapi kamu perlu mempercayai diri sendiri dan terus menulis, membaiki diri kamu. Cari mentor yang boleh membantu kamu menghasilkan skrip,” katanya.
Christian berkata pengarah Star Wars, George Lucas turut mendapat maklum balas negatif apabila beliau mengeluarkan idea untuk menghasilkan filem sains fiksyen, tetapi beliau berjaya menjadikan filem Star Wars sebagai box-office.
Pelajar jurusan filem dan televisyen Limkokwing University, George Mugambi dari Kenya dan rakannya dari Indonesia, Grycellicia Arsyanti mendapati sesi tersebut sangat menarik dan mengujakan.
Kedua-duanya memberitahu Bernama sesi tersebut perlu dipanjangkan bagi membolehkan lebih banyak interaksi dengan pengarah Hollywood tersebut.
Namun pengarah filem dan pensyarah sambilan Syed Mohamed Benyahya berkata sesi itu begitu menyegarkan pemain industri termasuk dirinya kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk belajar dari pakar perfileman. – BERNAMA