TUMPAT (Kelantan) – Jika menyebut tentang pilihan raya, pastinya kita akan terfikir berkenaan perang poster di sana sini sekitar kawasan pilihan raya daripada parti-parti bertanding.
Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan barulah terasa kemeriahan biarpun secara keseluruhannya suasana kempen masih perlahan.
Pada PRK ini, pertandingan tiga penjuru berlaku menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan seorang calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Mynewshub.cc melakukan tinjauan di sekitar DUN Pengkalan Kubor mendapati poster-poster mula digantung dengan merentangi jalan-jalan raya utama di sini memandangkan jalan di sini dalam keadaan lurus dan panjang.
Beberapa lokasi bendera dan poster dipasang dengan meriah di kawasan tumpuan utama seperti stesen minyak dan klinik kesihatan menjadikan Pengkalan Kubor lebih bermaya seperti pada saat awal kempen bermula.
Pemerhatian kasar mendapati BN mendahului peperangan poster pada PRK kali ini dengan poster memaparkan calon Mat Razi kelihatan di banyak lokasi di sekitar DUN.
PAS juga tidak kurang hebatnya dengan menggantungkan bendera lambang bulan purnama mereka di jalan-jalan utama di Pengkalan Kubor dengan gambar calon turut dipaparkan di poster-poster mereka.
Sementara itu, bagi calon bebas Izat Bukhary beliau ada cara tersendiri dalam berkempen apabila menggunakan lambang dipilihnya iaitu pen dalam kempen melonjakkan namanya untuk dipilih pengundi di Pengkalan Kubor.
Bagaimanapun, rupa poster kempennya begitu ringkas diletakkan hanya di beberapa jalan raya dan tidak tinggi sehingga tidak ternampak dek pengundi mahupun pemandu yang jalan itu.
Izat Bukhary menggunakan lambang pen dan pelbagai kata-kata dihasilkan dalam kempennya menggunakan perkataan ‘pen’.
Paling mencuri tumpuan ialah poster dengan kata-kata ini.
“Kalu meluat, ambil Pen, pangkah ambo ( kalau menyampah, ambil pen, pangkah saya),” katanya Izat Bukhary dalam poster kempennya.
Para pengundi di Pengkalan Kubor akan keluar beramai-ramai mengundi pada 25 September ini bagi memilih Ahli DUN mereka yang baru menggantikan Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia pada 20 Ogos lepas. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto : RIZA RAZAK