KETERUJAAN melihat mayat bapa saudara yang ditanam kira-kira 23 tahun lalu bertukar menjadi mumia, seorang lelaki bertindak merakam gambar ‘mereka’ untuk kenangan bersama.
Dia kemudian berkongsi gambar yang dirakam di Alicante (Sepanyol) bersama penggali kubur itu dengan rakan sekerjanya menerusi Whatsapp. Ia menjadi viral dalam sekelip mata!
Malangnya, tindakan lelaki itu menyebabkan penggali kubur, Celestino Reyna digantung kerja.
Memetik laporan Agensi, mayat itu dikatakan digali untuk ditanam semula ke dalam kubur yang sama dengan isterinya di sebuah tanah perkuburan di Guardamar del Segura. Ketika anak saudara si mati menyaksikan penggali kubur itu membawa naik semula mayat berkenaan, mereka terkejut melihat mayat itu sudah menjadi mumia.
Dalam gambar yang dirakamkan, Reyna dan anak saudara lelaki yang namanya tidak didedahkan dilihat tersenyum di sisi mayat lelaki yang baru digalinya itu.
Menurut anak saudara kepada ‘mumia’ itu, dia mendakwa tidak bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa.
“Saya tidak menyangka ia membawa padah. Saya juga tidak bertujuan untuk menghina bapa saudara saya,†katanya.
Sementara itu, penggali kubur berusia 55 tahun itu digantung tugas dan dipindahkan ke bahagian lain bagi pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan.
Seorang anggota majlis, Felipe Aldeguer, bagaimanapun berkata, Reyna tidak bersalah dalam hal itu.
“Dia hanya bertindak bodoh dengan mengikuti kehendak keluarga si mati,†katanya.
Mayat boleh menjadi mumia secara semula jadi apabila ia direndam dengan air berasid, bercampur dengan suhu sejuk dan kekurangan oksigen. :- MYNEWSHUB.CC
Oleh: CRIMEBUSTERZ