KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum sempat ke Syria bagi menyertai militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu bakar berkata, dua daripada suspek masing-masing berusia 26 tahun bekerja sebagai juruteknik dan arkitek manakala seorang lagi suspek berusia 42 tahun peniaga kedai runcit.
“Turut dirampas ini adalah sehelai bendera kumpulan ISIS daripada salah seorang suspek.
“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah kesalahan berkaitan keganasan iaitu Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Siasatan Mengikut Prosedur Di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid berkata, PDRM akan terus mengambil tindakan pencegahan ke atas mana-mana rakyat Malaysia yang dikesan merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan ISIS.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memantau aktiviti ahli keluarga masing-masing dan masyarakat sekeliling yag disyaki mahu menyertai kumpulan itu.
“Jika mempunyai maklumat, sila hubungi Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas di talian 03-22665673 atau emel kepada [email protected],” katanya. – mynewshub.cc
