SHAH ALAM – Projek perumahan AMETIS yang terletak di Subang Bestari pastinya satu pilihan yang harus diberikan pertimbangan secara serius andai anda sedang mencari kediaman yang selesa dan wang tidak menjadi faktor penghalang kepada anda.
Ciri paling nyata AMETIS yang terdiri daripada rumah jenis Semi-D ialah ia menerapkan perumahan mewah berkonsepkan mesra alam terbaharu.
Ia merupakan inisiatif syarikat pemaju yakni Worlwide Holdings dalam usaha mengekalkan konsep mesra alam dan kehijauan dalam projek pembangunan hartanah yang dijalankan pihak itu.
Menurut Pengurus Jualan dan Pemasarannya, Rozeeda Abdul Rahman, AMETIS menawarkan sistem ‘rainwater harvesting’ yang mana air tadahan hujan boleh digunakan semula untuk berkebun serta menyiram tanaman yang di halaman rumah.
Selain itu, ‘solar heater’ turut disediakan di kebanyakan bilik dalam kediaman yang mana ia sekali gus dapat mengurangkan penggunaan tenaga.
Pelbagai kemudahan awam yang terdapat di sekitarnya juga menjadikan AMETIS antara projek perumahan yang mendapat perhatian pembeli sekitar Lembah Klang.
“Antara kemudahan yang ada di sini ialah sekolah, surau, pengangkutan awam yang senang didapati, sekolah swasta, taman rekreasi serta akses lebuh raya yang mudah,” katanya ketika ditemui MYNEWSHUB.MY di pejabat WHB, Seksyen 7, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, AMETIS menawarkan 20 unit kediaman Semi-D yang mana setakat ini sudah 40 peratus dijual dan pihak mereka mensasarkan semua unit habis dijual menjelang hujung tahun ini.
Harga yang ditawarkan bagi setiap unit AMETIS adalah dari RM1.7 juta hingga RM2.3 juta.
“AMETIS turut menawarkan tahap keselamatan tinggi, di mana kawasan ini akan dijaga sepenuhnya oleh pos pengawal yang beroperasi sepanjang masa selain sistem penggera yang dipasang di situ,” katanya lagi.
Sementara itu, WHB akan melancarkan beberapa projek pembangunan hartanah perindustrian di sekitar Shah Alam dan Kapar, Selangor yang mana nilai pelaburan pembangunan dianggarkan mencecah RM3.26 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang. – MYNEWSHUB.MY
http://www.youtube.com/watch?v=USGHNdwsNxw
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto/Video: RIZA RAZAK







