Zahid Didakwa Sogok RM150,000

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai asas untuk mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana terbabit dalam politik wang.

Sumber memberitahu NST, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan didakwa mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kerana memberi atau menerima suapan oleh ejen.

Menurut sumber, Ahmad Zahid boleh disiasat kerana beliau didakwa menyogok wang tunai ketika pemilihan UMNO, Julai lalu, yang menyaksikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu memenangi jawatan presiden mengalahkan dua pesaingnya, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

NST turut difahamkan, ‘bukti’ yang sepatutnya diserahkan kepada SPRM berkaitan kes itu membabitkan wang ‘bertukar tangan’ dalam kalangan pemimpin UMNO di Sabah.

Difahamkan, ia membabitkan sejumlah wang RM150,000.

Terima laporan

SPRM mengesahkan ada menerima laporan pada Jumaat lalu, bahawa Ahmad Zahid terbabit dengan amalan rasuah dalam usahanya untuk memenangi jawatan nombor satu dalam parti keramat orang Melayu itu.

Bagi ‘pihak’ yang mengetahui kes itu, mereka mendakwa Ahmad Zahid adalah individu yang dianggap ‘sumber kewangan’ apabila beliau menyalurkan wang berkenaan di Sabah, sambil menegaskan ia bukan lagi hal dalaman parti, tetapi melampaui batas undang-undang kerana berunsurkan jenayah.

Usaha NST mendapatkan Ahmad Zahid bagi menjelaskan dakwaan itu bagaimanapun gagal.

Pada perkembangan sama, Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa memberitahu NSTP, mereka menyerahkan perkara itu kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Annuar yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, setakat ini, Lembaga Disiplin parti belum menerima laporan berhubung dakwaan yang dibuat terhadap Presidennya.

Siasatan dalaman

Beliau berkata, Lembaga Disiplin UMNO juga terbuka menjalankan siasatan dalaman berhubung tuduhan itu, sambil menambah tanpa laporan kepada lembaga, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, siasatan dalaman mesti dilakukan terlebih dahulu sebelum tindakan tatatertib boleh dipertimbangkan terhadap Ahmad Zahid kerana dakwaan salah laku.

Mengulas lanjut dakwaan salah laku Presiden UMNO itu, Annuar berkata, kes beli undi berkenaan berbeza berbanding yang berlaku sebelum ini dalam kalangan pemimpin UMNO, termasuk kes Tan Sri Isa Samad, yang pernah digantung akibat terbabit dalam politik wang ketika pemilihan parti pada 2004.

“Ia tidak sama. Kes Isa adalah hasil penemuan dalaman,” katanya.

Pada 24 Jun 2005, Lembaga Disiplin UMNO mendapati Isa bersalah membeli undi menggunakan ejen dalam pemilihan parti pada tahun sebelumnya.

‘Hasilnya’, Isa memenangi Naib Presiden UMNO pada 2004 dengan undi tertinggi diikuti oleh Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Isa digantung jawatan

Sehubungan itu, Lembaga Disiplin itu memutuskan untuk menggantung Isa daripada semua jawatan parti, termasuk naib presiden parti dan sebagai Ketua UMNO Teluk Kemang selama enam tahun.

Tempoh penggantungan itu akhirnya dikurangkan kepada tiga tahun oleh Majlis Tertinggi, berikutan rayuan Isa dan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada parti.

Penggantungannya daripada UMNO juga memaksa beliau melepaskan jawatan Kabinetnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Siasatan dalam parti terhadap Isa ketika itu membabitkan 20 saksi. – BH ONLINE

Loading...