TINDAKAN seorang guru melayan anak-anak muridnya yang agak kasar menimbulkan persepsi buruk penjaga kanak-kanak terhadap Taska Nadi Syahadah di Bandar Putra Kulai, Johor.
Melalui rakaman litar tertutup (CCTV) semua kanak-kanak yang lengkap memakai uniform taska berkenaan dihukum berdiri di atas kerusi sambil memegang buku masing-masing.
Guru tersebut dianggap bertindak keterlaluan oleh penjaga yang melihat rakaman itu apabila seorang kanak-kanak telah dilempang hingga terjatuh selepas berdiri di atas kerusi.
Sementara itu, seorang penjaga yang menghantar anak saudaranya ke taska berkenaan meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap tindakan guru tersebut.
“Budak yang kena (lempang) tu bukan anak saudara saya, tapi anak orang lain dan saya tak kenal ibu bapa mereka. Kesian budak-budak ni, patut takut nak pergi sekolah. Anak sedara saya murung sedangkan baru belajar empat bulan.
“Dari mula sampai kelas jam 12, budak-budak tak makan lagi dan saya tengok sendiri melalui CCTV,” katanya yang juga pengguna Facebok menggunakan nama Ayang Retroholic melalui entrinya.
Menurutnya lagi, kanak-kanak di taska tersebut turut mengalami lebam kesan dipukul dan kesakitan pada kuku.
Berhubung tindakan melampau guru berkenaan, dia telah membuat laporan di Balai Polis Kulai untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
Dia turut mengingatkan khususnya buat golongan ibu untuk sentiasa mengambil berat anak-anak mereka dan berwaspada terhadap perkembangan anak-anak mereka.
Seorang guru yang mengajar di sebuah taska yang bercirikan Islam sepatutnya mengamalkan cara pendidikan yang baik berteraskan Islam.
Kanak-kanak yang sedang membesar dan baru mengenali dunia ini perlu dibimbing sebaiknya dengan ajar mereka bukan sahaja pandai dari segi akademi malah baik dari sudut peribadi diri. – MYNEWSHUB.CC/MIZE