UTHM Tawar Diploma Lahirkan Lebih Ramai Imam Profesional

BATU PAHAT – Bagi melahirkan bakal imam profesional yang dapat mengaplikasikan pengetahuan teori dan praktikal dalam menyelesaikan masalah ilmu agama, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkenalkan program baharu, Diploma Eksekutif Imam Profesional.

Pemangku Pengarah Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (IASWJ) UTHM Profesor Datuk Dr Abdul Razak Omar berkata program itu dibangunkan dengan kerjasama pihaknya, dibantu Pusat Pendidikan Berterusan (CEC) UTHM serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Katanya, pengambilan pertama kursus berkenaan dilaksanakan pada awal Oktober lalu dan ia dibuka kepada imam-imam yang dilantik oleh JAINJ di serata Masjid Negeri Johor dengan tujuan menaik taraf jawatan imam masjid selaras dengan pembangunan Islamiah negara.

“Melalui program ini, para pelajar dapat mengamalkan ilmu secara profesional, beretika dan insani dalam menangani permasalahan ilmu agama selain dapat berinteraksi secara profesional dengan komuniti sekali gus melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dalam sesebuah organisasi yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian semasa pelancaran program itu yang merupakan pengajian pertama seumpamanya di negara ini yang disempurnakan oleh Pengarah JAINJ Rofiki A. Shamsuddin di Dewan Al-Farabi, UTHM, hari ini.

Jelas Abdul Razak, program itu turut mengandungi modul projek komuniti diwajibkan ke atas pelajar berperanan melatih mereka cara berkomunikasi dengan pelbagai pihak dengan berkesan melalui penganjuran program selain berkeupayaan menjalankan aktiviti secara sistematik.

“Setelah tamatnya program ini, para pelajar berkelayakan akan dapat menjalankan tugas sebagai imam kariah sepenuh masa, guru takmir, guru al-Quran dan melaksanakan tugasan fardu Kifayah yang diperlukan masyarakat setempat.

“Diploma Eksekutif Imam Profesional (DPI) ini akan dijalankan secara sambilan atau separuh masa selama minima tiga semester, termasuk semester pendek dengan jumlah 42 kredit,” katanya.

Tambah beliau lagi, setiap modular akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Agama (SKA) untuk dikreditkan dalam pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu (APEL) dan diiktiraf agensi-agensi kerajaan termasuk MAIJ, JAINJ dan UTHM.

“Pelajar perlu menyempurnakan projek berdasarkan topik atau program yang boleh memberikan kebaikan kepada organisasi dan masyarakat bagi menghabiskan kesemua modul untuk memperolehi Diploma.

“Penilaian yang dibuat adalah secara kerja kursus merangkumi kuliah, tutorial, tugasan, amali, projek, ujian bertulis/lisan,” kata beliau sambil berharap dengan penawaran program itu akan dapat melahirkan bakal imam yang holistik serta dapat membimbing komuniti dengan berkesan dalam beribadah dan muamalah harian. – BERNAMA

Loading...