UPM Tangga Ke-10 Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi universiti pertama di Malaysia tersenarai pada tangga ke-10 terbaik dunia dalam ranking ‘QS 2021 World University Rankings 50 Under 50’ berbanding tangga ke-12 pada tahun lalu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Aini Ideris, berkata ia adalah peningkatan secara berterusan selama lima tahun berturut-turut, sekali gus membolehkan UPM mengekalkan kedudukan sebagai universiti muda terbaik di Malaysia.

“Pencapaian yang membanggakan ini membuktikan universiti muda seperti UPM mampu meraih kecemerlangan, reputasi dan penjenamaan imej setanding dengan universiti lain yang lebih awal ditubuhkan.

“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UPM naik dalam hampir semua indikator yang dinilai dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi.

“Ini selari dengan usaha UPM dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program pengantarabangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penilaian ‘QS Top 50 Under 50’ menggunakan enam indikator yang sama seperti penilaian ‘QS World University Ranking’ berkaitan penilaian universiti, akademik serta fakulti.

Aini berkata, kejayaan demi kejayaan yang direkodkan dalam penilaian badan antarabangsa membuktikan UPM berada pada landasan betul dalam menyediakan ekosistem pendidikan tinggi terbaik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Ia juga selari dengan dengan visi UPM, iaitu menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.

“Prestasi yang cukup memberangsangkan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen seluruh warga UPM yang beriltizam untuk meletakkan universiti ini pada kedudukan terbaik di dunia,” katanya.

Pencapaian itu juga, katanya, menaikkan lagi semangat warga UPM untuk terus mengorak langkah bagi mencapai aspirasi dan sasaran Putra Global 100 (PG100) iaitu menjadi 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan Strategik 2021-2025 dan Pelan Transformasi Melangkaui 2025 yang sedang dirangka bakal menjadi platform penting yang akan meneruskan legasi kecemerlangan UPM di persada antarabangsa,” katanya. – BH Online

Loading...