Tun M Bakal Pilih KP Baru Utusan Ganti Aziz?

RASMI… Ini mungkin sudah dijangka banyak pihak, namun berita peletakan jawatan Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan berkuat kuasa pada 26 Julai memang besar!

Sebelum itu, pembaca setia Mingguan Malaysia pada Ahad lalu ‘gempar’ apabila ruangan pojok terkenal, Awang Selamat memuatkan cerita bertajuk Mohon undur diri, sekali gus mengesahkan beliau berundur daripada jawatan.

Turut disiar ialah rencana pendek Coretan sahabat tentang persaraan KP nukilan bekas editor akhbar berbahasa Melayu paling laris di Malaysia itu, Ku Seman Ku Hussain yang kebetulan di halaman sebelahnya dan ulas isu sama.

Dua artikel berkenaan juga diulas oleh bekas ketua pengarang syarikat akhbar tersebut, Tan Sri Zainuddin Maidin menerusi laman blog beliau, Zamkata pada hari sama yang bercerita perihal di sebalik pengunduran Abdul Aziz itu.

Mantan menteri penerangan (kini jawatan itu dikenali sebagai menteri komunikasi dan multimedia) turut imbau bagaimana semua ketua pengarang Utusan letak jawatan dalam situasi kontroversi termasuk kes dirinya pada 1992.

Untuk rekod, Zainuddin diarah berundur oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Mahathir Mohamad ekoran beliau sindir pemimpin tersebut yang bercakap Inggeris semasa wawancara stesen TV Indonesia di Jakarta.

Malah pengganti Zainuddin, Tan Sri Johan Jaafar turut letak jawatannya ketika krisis Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, yang menyaksikan orang No.2 itu kemudiannya dipecat akibat didakwa ada skandal seks.

Nasib buruk itu tidak dialami penggantinya, Datuk Khalid Mohd. bersara pada 2008 meskipun ada pihak mendakwa beliau terpaksa undur susulan Barisan Nasional (BN) catat prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

MESRA… Empat bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan (dari kiri) Abdul Aziz Ishak, Johan Jaafar, Khalid Mohd dan Zainuddin Maidin. – Gambar hiasan

Hari ini, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengumumkan pelantikan Dr. Badrul Hisham Mohd. Yusoff sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu syarikat itu berkuat kuasa serentak dalam rombakan kecil pengurusannya.

Beliau mungkin ambil alih tempat Datuk Mohd. Noordin Abbas yang turut letak jawatan Pengarah Urusan, tetapi tumpuan banyak pihak khasnya penganalisis politik tempatan lebih kepada siapakah ganti Abdul Aziz selepas ini.

Apatah lagi Abdul Aziz yang ganti Khalid sedekad lalu, kebetulan tidak mempunyai pengganti apabila Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad turut berundur sama dengan beliau dan Mohd. Nordin.

Justeru, pengamat politik tanah air melihat pemilik saham terbesar syarikat Utusan Melayu sendiri akan putus individu yang bakal isi kerusi panas tersebut dalam suasana BN bukan lagi kerajaan selepas tewas PRU ke-14 lalu.

Mungkin calon jawatan berat ini akan diteliti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerana parti tunjang BN itu memiliki 50 peratus saham Kumpulan Utusan sejak peristiwa mogok terbesar syarikat pada 1961.

Namun, ramai maklum dana UMNO pula dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lepas apabila kerajaan baharu dakwa ia kononnya ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini bermakna pemilik kedua terbesar Kumpulan Utusan iaitu 30 peratus lagi kepentingannya dikuasai Mahathir, menerusi dua orang proksinya, Tun Daim Zainuddin dan jutawan terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Shah Al-Bukhary.

GAH… Mahathir Mohamad ketika merasmikan kilang cetak Kumpulan Utusan di Bangi, Selangor pada 1998 berkata, beliau hanya percaya dan baca akhbar Utusan sepanjang hidupnya. – Gambar hiasan

Secara teknikal, perdana menteri yang ketujuh dengan usia paling tua di dunia itu, kini berhak memilih siapa Ketua Pengarang Kumpulan Utusan baharu menggantikan Abdul Aziz; dan tentunya prokerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beberapa nama besar sudah dikenal pasti, tetapi UMNO pada masa sama difahamkan tidak ‘berdiam diri’ dan mula letak ramai muka baru sebagai ahli lembaga pengarah syarikat media itu selain jawatan strategik peringkat editorial.

Dalam keadaan UMNO sendiri tidak memiliki saluran media arus perdana yang ada pengaruh besar, fungsi Utusan Melayu masih relevan, terutama jenama akhbar dan majalah keluaran anak syarikatnya, Utusan Karya Sdn. Bhd.

Bayangkanlah pasca-PRU lepas menyaksikan trend mula beralih kepada media antikerajaan PH kerana rakyat bosan laporan berat sebelah terutama RTM, Bernama, Sinar Harian, TV3 dan Astro Awani yang ‘bodek’ agak keterlaluan.

Hasilnya, jualan akhbar keluaran Kumpulan Utusan melonjak, manakala e-paper Utusan Malaysia muncul sebagai akhbar maya berbahasa Melayu paling laris di dunia. Justeru UMNO dijangka tetap pertahan operasi syarikat ini.

Ia dianggap wajar meskipun parti keramat Melayu terbesar di dunia itu kini hadapi kekangan kewangan akibat dana disekat SPRM dan mungkin cari sumber alternatif bagi memastikan ‘suara UMNO’ hidup dalam Kumpulan Utusan.

Persoalannya, siapakah yang layak bagi isi kekosongan jawatan Ketua Pengarang Kumpulan dan meneruskan misi UMNO menjadikan Utusan sebagai akhbar rakyat sejajar visi penubuhan syarikat itu pada 1938? – Mynewshub.TV

Loading...