SEREMBAN – “Tindakan itu jelas tidak wajar kerana mengaibkan guru,” kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, mengenai tindakan seorang wanita dipercayai ibu kepada seorang murid sekolah agama mengaibkan ustazah di dalam kelas.
“Tindakan seorang ibu murid yang menyuruh ustazah itu merangkak di hadapan murid-murid mencabar profesionalisme seorang guru.
“Sewajarnya wanita terbabit jika ada isu berkaitan dengan guru perlu dibawa ke meja perundingan dengan pihak sekolah dan bukan mengambil tindakan berkenaan secara terburu-buru tanpa kawalan emosi dengan mengaibkan guru terbabit.
“Wanita berkenaan sepatutnya boleh berbincang dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau pihak pengurusan sekolah dan menggunakan saluran perundangan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Video berkaitan seorang guru sedang merangkak di dalam kelas dipercayai sebuah sekolah agama menjadi tular sejak semalam tetapi tidak diketahui sama ada ia adalah kes baharu atau lama.
Mohd Azizee berkata, pihaknya menganggap tindakan wanita terbabit melanggar hak individu dan pihak sekolah perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan apa cara sekalipun supaya profesion perguruan dihormati dan dijunjung tinggi.
Beliau berkata, pihak sekolah atau mereka yang berkaitan juga perlu menggunakan tindakan undang-undang bagi mengelak perkara seperti ini berulang lagi pada masa depan.
“i-Guru pernah mencadangkan diwujudkan kod etika penguatkuasaan disiplin kepada pelajar dan penggubalan akta yang dapat membela warga guru apabila berdepan dengan tindakan ibu bapa.
“Kami (i-Guru) yakin bahawa jalan penyelesaian terbaik ialah melalui perundingan dan perbincangan harmoni antara pihak sekolah, ibu bapa dan guru, demi memastikan kebajikan guru terbela dan pendidikan murid-murid terjaga,” katanya.
Di Johor Bahru, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut menyiasat kes itu dan setakat ini sedang mengesan kejadian itu dan setakat ini, berdasarkan video tular itu kemungkinan ia berlaku di luar Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Javanthi berkata dia sudah meminta JAINJ bahagian Sekolah Agama untuk memeriksa sekiranya perkara itu berlaku di Sekolah Agama negeri ini.
“Saya sudah hantar maklumat ini kepada bahagian sekolah-sekolah JAINJ untuk dapat pengesahan berhubung isu ini. Sekolah Agama Johor tidak pakai kain hijau, kalau tidak silap saya. Sebab Sekolah Agama negeri ini pakai kain biru gelap. Namun, saya masih menunggu maklumat lanjut berhubung isu terbabit sekiranya berlaku di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, semalam. – BH Online