Shamsul Anuar Cabar Maszlee Letak Jawatan

30

TEGAS… Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah mencabar Dr. Maszlee Malik segera letak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Malaysia (UIAM).

Bukan itu sahaja, Ketua Penerangan UMNO tersebut turut melontarkan cabaran yang sama kepada semua pegawai lantikan politik menteri berkenaan yang menjadi ahli lembaga pengarah di mana-mana universiti di negara ini.

“Kalau betul Menteri Pendidikan nak bebaskan universiti (daripada politik), bebaskan semua. Hari ini, Lenggong nak cabar Menteri Pendidikan letak jawatan yang dipegang di universiti, berikan kebebasan. Berani atau tidak?

“Suruh juga pegawai lantikan politik dia yang menjawat jawatan lembaga pengarah di mana-mana universiti buat perkara sama,” katanya ketika perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), semalam.

Terdahulu, Shamsul Anuar menyokong cadangan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim supaya semua akhbar tempatan bebas untuk diedarkan di semua sekolah dan universiti supaya dapat dibaca oleh pelajar dan mahasiswa.

“Saya setuju dengan Pendang. Nak sekat buat apa? Sekat akhbar masuk sekolah, tapi mereka masih boleh baca menerusi internet dan lain-lain platform. Kalau Simpang Renggam betul hendak buat, laksanakan, tunjukkanlah.

“Kalau nak cakap kebebasan berfikir, tunjukkanlah semua, nak tengok ‘gentleman’ ke tidak kerajaan PH (Pakatan Harapan) hari ini,” katanya merujuk pegawai lantikan politik di sebahagian besar universiti awam ketika ini.


Dalam pada itu, Shamsul Anuar sempat mencuit Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan merupakan calon Timbalan Presiden PKR ditentang oleh Rafizi Ramli.

“Mengenai program TalentCorp, perlu lihat balik. Kalau ada kelemahan, tingkatkan, usahakan bawa balik kepakaran yang berada di luar negara. Gombak, bakal Timbalan Presiden PKR, insya Allah bakal PM (Perdana Menteri) juga.

“Senyum Gombak tu… nampak nak la tu. Cara senyum tu boleh nampak ada keinginan (jadi perdana menteri). Kita sokong perkara yang baik. Tapi projek di Lenggong, Baling, Pontian tu janganlah batal. Di Jerlun pun sama.

“Jerlun (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir) pun bakal PM juga. Bergandinglah baik-baik ya,” kata Shamsul Anuar sambil disambut gelak tawa ahli Dewan Rakyat. – Agensi/Mynewshub.TV