Seni Arca Bola Sepak Piala Dunia Jadi Tarikan

UNIK… Seni arca bertemakan Piala Dunia 2018 telah dipertontonkan pada sebuah pameran seni di ibu negara kelmarin dan ia telah berjaya menarik perhatian orang ramai yang hadir.

Majlis tersebut telah dianjurkan oleh anjuran Institut Seni Kreatif dan Rekaan (ICAD) Universiti Kolej Sedaya Antarabangsa (UCSI) dengan membabitkan para pelajarnya dari pelbagai jurusan.

Seramai 32 orang, masing-masing mempamerkan karya tersendiri berdasarkan lambang negara yang bertanding dan turut dipersembahkan adalah pameran fesyen yang diinspirasikan daripada trofi Piala Dunia.

Sebuah seni bina arca patung Matryoshka Rusia di atas bola dengan direka unik antara menjadi tumpuan utama para pengunjung.

Arca tersebut telah direka khas oleh penuntut tahun satu Diploma Reka Bentuk Grafik, Eunice Chan Yong Xin, 20, yang menampilkan identiti dan keunikan Rusia sebagai penganjur Piala Dunia yang akan berlangsung Jun ini.

“Arca ini dibuat di atas bola dan patung ini adalah lambang Rusia berdasarkan kajian serta bacaan saya di dalam laman sesawang. Saya mengambil masa tiga minggu menyiapkan karya ini.

“Keunikan Rusia saya terjemahkan dalam bentuk seni. Selain itu, saya melakar bangunan dan lokasi bersejarah Rusia di atas bola,” katanya pada Harian Metro.

Antara seni arca lain yang mendapat perhatian ialah patung arca figura mini dengan 22 pemain yang akan membarisi skuad Argentina pada Piala Dunia kali ini dengan menamakan sebagai Prepare For Glory.

Seni arca tersebut telah direka khas oleh penuntut Diploma Rekaan Fesyen, Lee Ker Qing, 20 yang diinspirasikan daripada kehebatan pasukan Argentina yang selalu menampilkan permainan yang penuh strategi.

“Saya bukan peminat bola sepak tegar tetapi saya buat kajian sebelum terjemahkan karya ini. Hasil bacaan saya mendapati Argentina ada prinsip kehebatan pasukannya hasil daripada bakat di seluruh negara itu,” ujarnya.

Hasil tangan tersebut malahan berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu dengan mempamerkan lokasi-lokasi menarik di sekitar Argentina.

Pameran dirasmikan Duta Besar Rusia ke Malaysia, Valery N Yermolov sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor Hubungan Luar dan Antarabangsa UCSI, Profesor Datuk Dr. Ahmad Zainuddin. – MYNEWSHUB.CC/MIZE