KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasar untuk memastikan semua penjawat awam adalah celik digital pada tahun 2025 sekali gus melancarkan lagi perkhidmatan penyampaian kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan melihat terdapat kepentingan untuk menambahbaik mutu penyampaian perkhidmatan.
“Bayangkan tiada lagi isu untuk beratur panjang dan pengurangan waktu menunggu dan oleh itu kerajaan menyasarkan 100 peratus penjawat awam celik digital pada tahun 2025.
“Semua kementerian dan agensi menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang tahun 2022; 80 peratus perkhidmatan kerajaan dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025 dan 80 peratus penggunaan storan pengkomputeran awan merentas sektor awam pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan mengenai 10 Soalan Tentang Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu Mustapa berkata, antara perkara paling penting yang disasarkan oleh rangka tindakan itu adalah merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia seperti antara bandar dan desa serta generasi muda dan tua.
Tambahan pula katanya, pandemik COVID-19 menyedarkan kita bahawa penerima gunaan teknologi digital yang berupaya membantu melindungi rakyat daripada risiko ekonomi digital, perlu disegerakan.
“Kita jangka dapat melihat perubahan landskap ekonomi digital ke arah peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi, pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta kemudahan mobilisasi perubatan ke pekan terpencil.
“Contohnya, untuk menjalankan perniagaan pada zaman ini, tidak perlu lagi menyewa kedai, tetapi boleh berniaga secara digital sahaja; buka kedai dalam talian atau online di Facebook, Instagram atau WhatsApp sahaja. Promosi produk atau perkhidmatan secara dalam talian. Seluruh rantaian bekalan ini dapat bergerak secara digital sepenuhnya.
“Rangka Tindakan ini untuk rakyat dan segala yang digariskan dalam dokumen ini memberi penekanan kepada nilai yang berpaksikan kemanusiaan, yang akan memanfaatkan semua, tidak kira masyarakat, perniagaan mahupun kerajaan,” katanya.
Ditanya mengenai peranan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam pelaksanaan rangka tindakan itu, Mustapa berkata EPU akan menyelia Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik atau Strategic Change Management Office (SCMO).
“SCMO akan menjalankan tiga peranan iaitu melaksanakan pengurusan perubahan bagi Dasar 4IR Negara dan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia, memantau kemajuan dan menilai prestasi inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan, terutamanya bagi memupuk pemikiran digital dan inovatif di kalangan rakyat, serta berperanan sebagai urus setia Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara,” katanya. – BH Online