Ramli Lakar Sejarah Orang Asli Pertama Calon BN

BERBAKTI… Bekas pegawai polis, Ramli Mohd. Noor melakar sejarah diumumkan sebagai calon pertama Barisan Nasional (BN) dari kalangan masyarakat Orang Asli.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sepanjang pengetahuannya, sejak Perikatan ditubuhkan pada 1955 sehingga era BN diasaskan pada 1972, tidak pernah ada calon Orang Asli.

Ini membuktikan BN bukan sahaja mengiktiraf kaum India, Cina dan Melayu sahaja, malah, komuniti Orang Asli yang dapat beri kemenangan pun akan dipilih sebagai calon parti berkenaan.

“Kita menaruh keyakinan penuh pada pucuk pimpinan BN dalam memilih Ramli sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Pahang.

“Tambahan pula, beliau ada sokongan masyarakat Orang Asli selain disenangi kaum lain di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pengumuman Calon BN di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata bahawa pihak UMNO akan mengerahkan jentera parti untuk membantu kempen bagi memastikan calonnya menang pada PRK 26 Januari ini.

“Kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. Dan ini adalah PRK kelima selepas DUN Sri Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong dan Parlimen Port Dickson,” kata Annuar.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemilihan Ramli dapat persetujuan semua komponen BN, termasuk MIC meskipun beliau bukan ahli UMNO.

“MIC juga turut bersetuju untuk mempertaruhkan bekas pegawai polis itu,” katanya. Ramli adalah bendahari Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Pemilihan Ramli; yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi, dibuat kerana UMNO mahu menarik sokongan masyarakat Orang Asli dan pengundi Melayu di Cameron Highlands.

“Beliau yang berasal dari kaum orang Asli dan beragama Islam dilihat menjadi satu kelebihan untuk menarik sokongan pengundi orang Asli dan masyarakat Melayu.

“Apatah lagi undi orang Asli sebanyak 22 peratus penduduk di situ juga menjadi penentu,” katanya.

Ramli adalah penduduk tempatan dari suku Semai, yang membentuk sebahagian besar daripada 22 peratus pengundi Orang Asli di kerusi parlimen itu.

Selain Orang Asli, pengundi terdiri daripada kaum Melayu mewakili 34 peratus, Cina 30 peratus, dan pengundi India sebanyak 15 peratus.

Pada pilihan raya umum lalu, naib presiden MIC, Datuk C Sivarraajh memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru, mengatasi M Manogaran dari DAP dengan kelebihan kira-kira 600 undi.

November lalu, Mahkamah Pilihan Raya di ibu negara membatalkan keputusan itu atas alasan konon berlaku amalan rasuah dan memutuskan pilihan raya perlu diadakan semula.

Pakatan Harapan pula telah menamakan semula Manogaran sebagai calonnya. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...