Poster Filem Dikecam, Ini Jawapan Ahmad Idham

SELEPAS 20 tahun, adakah filem Pencuri Hati Mr Cinderella bakal menyaingi fenomena drama bersiri Cinderella dulu? Selepas beberapa hari pra-tontonan filem tersebut, sudah ada desas-desus dan cakap-cakap belakang dari peminat filem tanah air tentang posternya.

Pengarahnya, Ahmad Idham, 45, tampil membuat kenyataan dengan mengganggap netizen yang mengkritik poster berkenaan tidak faham dengan idea yang cuba disampaikan.

“Saya tidak salahkan mereka yang cuba memberi pandangan pada poster itu kerana segelintir anak muda mungkin tidak faham akan fenomena drama Cinderella pada tahun 1998 dahulu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, idea poster itu turut diberi sentuhan ‘old school’ hasil dari lakonannya di dalam drama yang pernah popular 20 tahun lalu.

“Maklumlah saya pula berlakon dan judul Cinderella ini memang sinonim dengan watak Salman lakonan saya 20 tahun lalu,” katanya memetik laporan sebuah akhbar.

Filem yang bakal ditanyangkan pada 10 Ogos ini menampilkan barisan pelakon seperti Atikah Suhaime sebagai teraju utama di samping Ahmad Idham sendiri, Haliza Misbun, Datuk Eizlan Yusof, Faye Kusyairi, Hairul Azreen, Cat Farish dan Kuza.

Mengulas mengenai poster itu lagi, Idham dikhabarkan gembira dengan respon yang diberikan terhadap filem adaptasi daripada drama Cinderella (1998) dan filem Impak Maksima (2007) ini sehinggakan wujud pertikaian poster dalam kalangan masyarakat.

Dia juga tidak menafikan terdapat banyak pihak yang menyuruh pihaknya menambah baik poster tersebut supaya kelihatan lebih menarik dan terkini.

Jika kita taip saja #PencuriHatiMrCinderella di laman Twitter, sudah pasti antara top tweet yang dipaparkan di skrin menunjukkan tweet yang mengecam poster filem ini.

“Poster filem Pencuri Hati Mr Cinderella dikecam sejak minggu lalu dan ramai berpendapat ia ketinggalan zaman dan dihasilkan pereka grafik tidak berpengalaman.

“Bagi saya poster hanyalah poster tetapi lebih penting pengisian cerita dalam filem membuktikan aura fenomena kisah cinta akan berlaku melalui respon diterima ketika tayangan perdana tempoh hari,” tambahnya lagi.

Jika diimbau kembali, poster filem Minah Moto arahan Ahmad Idham juga pernah mendapat kritikan daripada netizen. – MYNEWSHUB.CC / Aisyah Karim

Loading...