PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, polis telah memulakan siasatan ke atas laporan mengenai komplot untuk mencemarkan reputasi beliau berikutan pendedahan 9 rakaman audio membabitkan pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin asing berhubung dakwaan cuba menyembunyikan skandal 1MDB.
Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung aduan itu.
“Polis telah memulakan proses merakam kenyataan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media selepas majlis persaraan timbalan ketua pesuruhjaya bagi profesionalisme dan pengurusan, Jaafar Mahar.
Katanya beliau mungkin dipanggil semula ke Bukit Aman berhubung perkara itu.
Latheefa mengambil masa 4 jam semalam untuk memberi kenyataan kepada polis sebagai sebahagian penyiasatan berhubung rakaman audio tersebut.
Baru-baru ini Latheefa berkata, beliau menerima maklumat bahawa terdapatnya komplot jenayah untuk merekayasa dan mengedarkan bahan untuk memfitnahnya oleh satu kumpulan individu, dan salah seorang daripada mereka dipercayai seorang peguam.
Bagaimana katanya, beliau tidak terhalang atau terancam daripada menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
Pejabatnya membuat satu laporan polis berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Latheefa berharap polis akan menjalankan segera siasatan ke atas 9 rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM.
Katanya, beliau gembira atas kerjasama yang ditunjukkan oleh polis apabila beliau dan pegawainya memberi kenyataan kepada pegawai dari Bukit Aman petang semalam.
“Kami telah berikan kerjasama penuh dan berharap ia akan berjalan lancar,” katanya.
Latheefa berkata, polis belum memaklumkan sama ada mereka perlu hadir ke Bukit Aman semula.
Pasukan penyiasatan polis diketuai oleh Mohd Fazley Ab Rahman dari Unit Siasatan Jenayah Khas Bukit Aman.
Minggu lepas, Latheefa mendedahkan 9 rakaman audio membabitkan antara lain bekas perdana menteri Najib Razak; isteri beliau, Rosmah Mansor; bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan putera mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
Pendedahan itu dikritik beberapa peguam yang berkata, merakam perbualan telefon adalah salah, selain mendakwa ia (pendedahan itu) akan membawa kepada perbicaraan oleh media.
Latheefa enggan memberi komen terhadap kritikan tersebut. – FMT