PM Dedah Kisah Shafie Minta Jadi Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU – Akhirnya terbongkar cerita sebenar mengenai punca bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan keluar parti dan menubuhkan parti sendiri.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, rupa-rupanya Ahli Parlimen Semporna itu pernah datang berjumpa beliau sendiri untuk meminta agar dirinya itu pula dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mendedahkan hal ini ketika berucap dalam majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi di Sandakan dekat sini pada Jumaat.

Beliau dalam rangka lawatan dua hari ke Sabah bagaimanapun menyifatkan permintaan itu tidak wajar malah tidak boleh diterima kerana ia membuktikan Shafie mempunyai cita-cita peribadi melebihi kepentingan parti dan rakyat.

“Saya tahulah mengenai isu (Shafie) ini kerana dia sendiri pernah datang jumpa saya beritahu mahu menjadi Ketua Menteri Sabah. Ini sudah cita-cita peribadi, pada saya cita-cita peribadi tidak boleh melebihi perjuangan rakyat.

“Kita menubuhkan sebuah parti (UMNO dan komponen BN) yang murni serta mempunyai idealisme untuk memajukan rakyat, ini langsung tiada kena mengena dengan hasrat peribadi mana-mana individu,” tegas Najib lagi.

Desas desus yang mendakwa Shafie bercita-cita besar untuk menjadi Ketua Menteri Sabah ke-15 menggantikan Datuk Seri Musa Aman sudah lama berlegar beberapa tahun lalu tetapi ia padam tidak dipedulikan begitu sahaja.

Pendedahan secara terbuka oleh Perdana Menteri itu mengesahkan bahawa Presiden Parti Warisan Sabah itu pernah berhajat hendak menduduki jawatan tertinggi berkenaan yang kini disandang oleh Musa sejak 2003.

Shafie, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kini mengetuai parti pembangkang kecil tersebut sejak tahun lalu namun tidak berhasrat menyertai blok Pakatan Harapan atau Gagasan Sejahtera. – AgendaDaily/HAA