PKR Ada Bukti Cubaan Rampas Kuasa – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Strategi pihak tertentu yang menyusun perancangan tersembunyi dengan mempunyai agenda tertentu dan mengkhianati amanah rakyat disifatkan hanya mahu menyelamatkan diri dan tidak mencerminkan perjuangan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata justeru rakyat harus berwaspada dengan usaha pihak tertentu yang hanya ingin menjaga kepentingan politik peribadi semata-mata.

Jelasnya, parti itu mempunyai “circumstantial evidence” (keterangan berdasarkan keadaan) mengenai cubaan merampas kuasa gabungan parti pemerintah sedia ada. PKR adalah anggota komponen PH.

“Kami sudah berbincang mengenai perkara itu dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti telah mengambil pendirian bahawa rakyat harus lihat ada kemungkinan percubaan ‘hijack’ agenda reformasi yang sudah dijalankan sekian lama.

“Dan kita katakan bahawa usaha ini adalah bertujuan mengembalikan semula politik usang berbanding dengan politik inklusif yang telah dibawa oleh Pakatan Harapan. Jadi, kami mengingatkan rakyat (waspada) bahawa mereka yang menggerakkan usaha itu bertujuan menyelamatkan diri daripada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival InvestSmart Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di sini sebagai mengulas kenyataan daripada MPP PKR yang mengingatkan parti berkenaan berwaspada dengan pengkhianatan agenda rakyat.

MPP PKR dalam kenyataan itu menggesa semua pihak berwaspada dengan mereka yang sedang membuat perancangan tersembunyi serta menyusun agenda tertentu demi untuk kelangsungan politik peribadi.

Loading...