PH Abai Felda, Tiada Pun Ucapan Hari Peneroka!

PADA tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) meraikan sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan diberi nama Ekspresi Negaraku Felda di Putrajaya secara besar-besaran.

Ia sebagai tanda penghargaan sumbangan ratusan ribu peneroka di seluruh negara selain beri ruang kepada mereka dan pihak Felda sendiri untuk mempamerkan pencapaian, kekuatan dan kejayaan skim tanah rancangan tersebut.

Hari ini 7 Julai, sepatutnya peneroka diraikan seperti tahun-tahun sebelumnya sebagai tanda ingatan tarikh Hari Peneroka sempena pembukaan kawasan Felda yang pertama iaitu di Lurah Bilut, Pahang pada 7 Julai 1956.

Malangnya, hari bersejarah itu seolah-olah tidak lagi diiktiraf kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila langsung tiada sambutan Hari Peneroka dirancang atau disambut waima secara skala kecil untuk jimat hutang kerajaan.

Apakah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Felda tidak tahu apa-apa pun mengenai tarikh 7 Julai sebagai Hari Peneroka Felda disambut setiap tahun?

Mustahil! Beliau sebelum ini merupakan Menteri Besar Selangor, sebuah negeri maju yang turut mempunyai banyak rancangan Felda terbaik malah ada terkenal di seluruh negara antaranya Gedangsa, Soeharto dan Sungai Tengi.

Malah, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin pernah memuji Azmin dan kerajaan Selangor sebagai contoh kejayaan perjuang isu rumah generasi kedua Felda, waima tidak sehebat mana berbanding dibuat Felda sendiri.

Apakah kerajaan PH tidak iktiraf sumbangan peneroka dan Felda dalam menyumbang kepada ekonomi negara terutama hasil komoditi sawit, getah dan produk-produk hiliran dihasilkan melalui anak-anak syarikat Felda?

Berdasarkan usaha gigih dan pencapaian peneroka serta Felda sejak kebelakangan ini terutama selepas diterajui Tan Sri Shahrir Abdul Samad, sudah semestinya peneroka Felda layak dirai sebagai menghargai titik peluh mereka.

Namun sehingga kini Pengerusi Felda pun belum dilantik selepas Shahrir letak jawatan lalu susulan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akibat tohmahan fitnah dan persepsi buruk dimainkan oleh PH tanpa henti.

Ternyata, peneroka Felda dapat lihat sendiri bukti kegagalan kerajaan PH hargai sumbangan mereka, apatah lagi Azmin yang dipertanggungjawabkan, masih belum buat sebarang keputusan terbaik mengenai masa depan Felda.

Atau, adakah sikap tidak peduli ini kerana kerajaan PH tidak puas hati kerana dalam keputusan PRU ke-14 pada 9 Mei lalu, majoriti besar peneroka di seluruh negara sebenarnya masih lagi tegar menyokong kerajaan BN.

Jika ini jadi perkiraan, ia jelas adalah salah kerana daripada 54 kerusi Parlimen di kawasan Felda, sebenarnya hanya 27 kerusi yang dimenangi oleh BN. PKR sendiri tawan 19 kerusi, PAS 6 dan WARISAN pula 2 kerusi di Sabah.

Justeru, amatlah tidak adil pihak kerajaan PH melupakan jasa lebih 112,000 peneroka Felda yang patut dirai pada Hari Peneroka, hari ini kerana sanggup berpaling tadah untuk khianati BN dan menyokong pula PH tanpa ragu.

Jangan kerana terlalu sibuk cari kesalahan pemimpin dan kerajaan BN terdahulu, pentadbiran PH mengabaikan masyarakat peneroka yang memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Jika dengan kerajaan BN, peneroka mendapat bermacam-macam pemberian dan insentif menarik, tentu mereka mahu kerajaan PH yang kononnya mahu sangat membela nasib rakyat, dapat memberi sesuatu jauh lebih baik.

Malangnya, ucapan Selamat Hari Peneroka 2018 pun, kerajaan PH langsung tidak mampu beri. Kesian warga Felda berjaya ditipu hidup-hidup oleh rejim diktator PH ibarat habis madu, sepah pun dibuang. – Agensi/Mynewshub.TV

* Video arkib sekitar sambutan Hari Peneroka 2017 di Putrajaya ketika era kegemilangan BN…

Loading...