Penjawat Awam Mohon LPPSA Beri Moratorium

PENJAWAT awam memohon Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) supaya mempertimbangkan pemberian moratorium berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, Kota Tinggi, Norajiah Ibrahim berkata, dia sudah menghantar emel kepada LPPSA untuk bertanyakan mengapa peminjam tidak diberikan moratorium.

“LPPSA membalas emel saya dengan menyatakan moratorium tidak diberikan kerana gaji penjawat awam berjalan seperti biasa sepanjang PKP.

“Memang gaji berjalan tetapi setiap orang berbeza. Contohnya saya yang mana saya sudah membuat potongan pembiayaan perumahan sejak bulan lalu tetapi kunci rumah belum diserahkan kepada saya.

“Kami terbeban kerana gaji dipotong untuk bayaran rumah malah, kami turut perlu membayar sewa kediaman,” katanya.

Menurut Norajiah, tidak semua penjawat awam berkahwin sesama mereka.

Kerana itu, katanya, sepanjang PKP, ada juga peminjam yang suami mereka tidak bekerja dan tiada gaji.

Menurut Norajiah, jika LPPSA tidak dapat membuat penangguhan enam bulan, memadai hanya untuk tiga bulan supaya beban penjawat awam dapat dikurangkan.

“Macam saya, potongan gaji untuk pembiayaan rumah di rumah Penjawat Awam 1Malaysia di Kota Tinggi ini sebulan RM1,506, rumah sewa pula RM500 sebulan.

“Gaji kami bukannya besar sangat, kami juga perlu sediakan keperluan dapur.

“Jika dapat kunci rumah tidak mengapa, saya boleh berpindah dan dapat jimatkan RM500 kos sewa,” katanya.

Norajiah berharap LPPSA akan mengkaji semula pelaksanaan moratorium ini bagi meringankan bebanan penjawat awam. – myMetro Online