Tok Batin Diugut Undi PH Atau Dilucut Jawatan?

BIADAB… Kelmarin calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran dari DAP bersikap rasis apabila tergamak melabelkan Orang Asli sebagai ‘kuih’ yang kononnya tidak akan dibeli oleh kaum Melayu.

Kini, akibat terdesak lihat reaksi penduduk Cameron Highlands mula ‘jauhi’ daripada PH, blok parti kerajaan persekutuan itu mula ugut Tok Batin atau ketua kampung Orang Asli agar undi calon mereka pada 26 Januari ini.

Senator Manolan Mohamad mengeluarkan ugutan itu dengan dakwa bahawa Kerajaan PH tidak akan teragak-agak potong elaun Tok Batin seluruh Parlimen Cameron Highlands jika mereka tidak beri undi kepada calon DAP itu.

“Mana-mana Tok Batin yang tidak sokong kerajaan PH, kita tidak akan bayar gaji bulanan dia, betul? Jangan bayar gaji dia selepas ini. Kita selama ini tetap bayar gaji dia, tapi dia pula tidak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia.

“Tok Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka, anda kena sokong PH. Tidak sokong, maka kita (PH) akan buang,” kata Manolan yang turut dipanggil sebagai Bob dalam nada angkuh dipetik oleh portal Malaysiakini.

Senator PKR berdarah Orang Asli dan mewakili komuniti berkenaan di Dewan Negara sejak 27 Ogos tahun lalu itu dilapor mengeluarkan ugutan tersebut ketika bertemu dengan sekumpulan Tok Batin di Pos Betau, Jelai pagi ini.

Untuk rekod, setiap ketua kampung petempatan Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia dibayar antara RM800 hingga RM1,200 berdasarkan kepada jumlah penduduk di kawasan mereka dan keluasan kampung itu.

Sesi dialog bersama pemimpin masyarakat Orang Asli dan wakil 18 perkampungan Orang Asli Semai itu dihadiri Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Baca: Calon PH ‘Hina’ BN Letak Orang Asli Sebagai Calon?

Bob bagaimanapun dilaporkan sebuah lagi portal berita tempatan lain telah menafikan laporan Malaysiakini itu, dan berkata kenyataannya merujuk kepada Tok Batin yang “pada masa sama ambil jawatan” dalam UMNO.

Beliau berdalih dengan menyifatkan Tok Batin terbabit sebagai ada konflik kepentingan, sambil mendakwa mereka tidak wajar jalankan aktiviti politik bersama UMNO tetapi masih lagi mahu menerima elaun daripada kerajaan PH.

“Tidak pernah saya menyatakan amaran atau ugutan yang berbunyi tiada undi tiada bayaran, atau ‘no vote, no pay’, kata Bob menerusi akaun sosial Facebook petang ini. Ironi Malaysiakini didapati masih lagi siar artikel tersebut.

Namun jika terbukti laporan Malaysiakini itu adalah sahih, adakah ini satu lagi bentuk penghinaan dari wakil PH terhadap kaum Orang Asli apabila gentar dengan berita calon BN semalam diumum dari kalangan Suku Semai?

Tidakkah ini jelas langgar Akta Pilihan Raya kerana ada unsur ugutan terhadap pengundi? Inikah ketelusan yang dilaungkan PH dan mereka dakwa konon tidak akan sesekali guna apa juga bentuk penindasan ke atas pengundi?

Di manakah BERSIH yang sebelum ini sering buat demonstrasi haram di jalanan terhadap Barisan Nasional (BN) tetapi hilang apabila sesuatu yang jengkel melibatkan PH? Sewajarnya ugutan ini dilihat sebagai kes serius.

Ini adalah salah guna kuasa oleh PH dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands. Apakah respons Suruhanjaya Pilihan Raya terhadap isu ini? Perlu diingatkan undi dari Orang Asli dikatakan akan jadi penentu kalah menang PH.

Justeru, mereka terpaksa ‘tekan’ Tok Batin dengan pelbagai helah. Ini sesuatu yang tidak pernah terjadi semasa BN memerintah 60 tahun dan sudah nampak PH kini mahu pula menjadi rejim kuku besi. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...