Muhyiddin Ziarah Pusara Ibu, Bapa

MUAR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menziarahi pusara ibu dan bapanya dalam kunjungan singkat ke tempat kelahirannya di Muar, Johor setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam.

Muhyiddin tiba di Tanah perkuburan Islam Bakri Batu 1 di sini kira-kira 12.20 tengah hari ditemani isteri,Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Beliau kemudian menziarahi pusara bapanya yang juga guru agama terkenal Allahyarham Muhammad Yassin Mohamad dan ibunya Allahyarhamah Khadijah Kasim.

Muhyiddin dilihat menjirus air mawar di kedua-dua pusara sebelum membacakan doa.

Perdana Menteri seterusnya menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin di wakaf di pekarangan tanah perkuburan itu.

Presiden Bersatu itu mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Loading...