Isu ICERD: Menteri Tidak Cekap, Tidak Matang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui menteri tidak sensitif apabila mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, mereka sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang lebih cekap dan matang.

Beliau berkata, ketidakcekapan menteri itu adalah perkara yang berlaku dalam kerajaan yang baru dibentuk dalam tempoh enam bulan.

“Saya percaya landasan (Islam agama persekutuan dan hak keistimewaan orang Melayu) ini bukan ditolak kerajaan lantaran kenyataan (menteri) mungkin kadang-kadang mengelirukan.

“Ini kerana, kerajaan baru (dibentuk) enam bulan. Menteri juga baru dan kenyataan tak semua cekap dan matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Syarahan Za’ba 2018 bertajuk Melayu dan Islam Dalam Era Malaysia Baharu di Dewan Semarak Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, hari ini.

Ketika ditemui media berhubung tegurannya kepada menteri, tanpa menamakan siapa, Anwar mahu mereka peka terhadap sensitiviti di negara ini supaya ia tidak memberi kesan buruk masyarakat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sebelum membuat kenyataan, ia perlu diteliti terlebih dulu supaya tidak mengguris perasaan masyarakat.

“Kita harus tahu sensitiviti masyarakat. Kenyataan harus direnungkan implikasi. Kebimbangan ada.

“Saya tak setuju dengan kadang-kadang teguran melampau mengatakan kita tak lagi Melayu, tekan masyarakat Melayu.

“Saya berpendapat tak payah (perlu) bagi ruang bincang begini kerana keutamaan kita kalau jamin keadilan… tidak ada lagi keresahan,” katanya. – BH ONLINE