Mahathir Senaraikan 114 Sokongan Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyenaraikan 114 nama ahli parlimen yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri ke-8 dan dan akan di bawa kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Buat masa ini saya telah mendapat sejumlah 114 Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Saya telah menyediakan surat untuk dihantar kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong yang menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 Ahli-Ahli Parlimen yang diberikan kepada saya.

“Saya berharap pihak Tuanku DYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata jumlah sokongan daripada Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin kepada Seri Paduka Baginda adalah tidak tepat.

Tegasnya, beliau bersama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu tidak bersama-sama menyokong pelantikan Muhyiddin.

“Saya ingin jelaskan sebagai pengerusi Bersatu,saya bersama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu tidak bersama-sama menyokong pelantikan Muhyiddin.

“Ini menjadikan jumlah sokongan (Bersatu) seperti yang dipersembahkan oleh Muhyiddin kepada Seri Paduka Baginda adalah tidak tepat,” katanya.

Enam orang Ahli Parlimen Bersatu yang telah menandatangani akuan berkanun yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin adalah:

  • i. Tun Dr Mahathir bin Mohamad (Ahli Parlimen Langkawi P:004)
  • ii. Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir (Ahli Parlimen Jerlun P:005)
  • iii. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar P:146)
  • iv. Datuk Ir. Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu P:006)
  • v. Mazlee bin Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam P:151)
  • vi. Eddin Syazlee Shith (Ahli Parlimen Kuala Pilah P:129)
Loading...