Lebih 120,000 Tandatangan Petisyen Haramkan Dong Zong

SHAH ALAM – Petisyen menggesa kerajaan mengharamkan kumpulan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) sudah memperoleh lebih 100,000 tandatangan.

Petisyen yang dilancarkan sejak kelmarin menerusi laman web change.org itu setakat ini sudah mendapat lebih 120,000 sokongan.

Kempen yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia itu dilancarkan selepas Dong Zong melancarkan petisyen membantah tulisan jawi di sekolah vernakular.

Dong Zong sebelum ini berkata, pihaknya akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Sementara itu, kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr. Mahathir Mohmad yang melabelkan Dong Zong sebagai rasis turut mendorong sayap pemuda parti itu melancarkan petisyen bagi mendesak pertubuhan itu diharamkan.

Petisyen yang dilancarkan itu setakat jam 8 pagi semalam turut mengumpulkan lebih 46,495 sokongan dengan sasaran mendapat 100,000 sokongan.

Terdahulu, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis apabila sering membantah setiap dasar pendidikan negara termasuk usaha memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat di sekolah.

Mempertahankan kenyataan itu sekali lagi semalam, Dr. Mahathir menyerahkan kepada polis untuk menentukan sama ada Dong Zong perlu diharamkan atau tidak.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu menentang undang-undang jika ia terus mendorong dan menghasut rakyat supaya bergaduh antara satu sama lain.

“Kita ada kebebasan bersuara tetapi sentiasa bersikap sensitif mengelak daripada menghasut rakyat pelbagai kaum untuk bergaduh antara satu sama lain.

“Tapi Dong Zong hanya bercakap untuk satu kaum, dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum,” kata beliau bila ditanya mengenai petisyen online, dilancarkan oleh sayap pemuda partinya yang mendesak kumpulan pendidik Cina itu diharamkan.

Loading...