Korang Mungkin Cool, Tapi Bukan ‘KJ Cool’

DALAM usaha parti-parti politik menarik undi anak muda, pelbagai cara dan isu digunakan, termasuk mengadakan program hiburan, wacana tentang pekerjaan dan isu sosioekonomi dan juga memberikan minyak dan khidmat mencuci motorsikal percuma.

Usaha-usaha ini semua boleh menarik kehadiran anak muda ke program parti yang menganjurkannya, tetapi bolehkah program meyakinkan anak muda menyokong sesebuah parti?

Kalau dinilai mengikut pemimpin politik mana yang paling mudah mendekati dan didekati orang muda, dan paling boleh dianggap bukan sebagai “orang tua”, orangnya ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga dikenali dengan KJ, telah membuktikan kemampuannya mengikuti gaya hidup orang muda tanpa nampak kekok seperti banyak ahli politik lain walaupun yang lebih muda.

Khairy dengan jayanya menyertai aktiviti orang muda seperti bersukan, contohnya menaiki skateboard dan bukan bermain golf!

Beliau juga memilih imej berpakaian dengan baik sekali, dengan pakaian potongan “slim” yang nampak lebih kontemporari dan mewakili generasi muda.

Sebagai bukti imej yang dibawa dengan jaya ini, Khairy muncul dalam muka depan beberapa majalah gaya hidup popular.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy mempopularkan program Fit Malaysia untuk mengajak masyarakat bersukan dan mengikuti gaya hidup sihat.

Apa yang dikempen ini bukan semata-mata kempen tetapi dibuktikan sendiri oleh beliau yang menjalani gaya hidup sihat.

Program hiburan seperti muzik yang dianjurkan juga dijiwai oleh Khairy, yang datang dengan pakaian dan “attitude” yang bertepatan, bukan seperti orang politik tua yang datang berbaju batik dan sekadar memberi ucapan perasmian atau penutup.

Malah, satu kejayaan Khairy ialah mengajak sekali Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama program, dengan juga dengan imej yang tidak kekok.

Kemuncak cool Khairy ini ialah video promosi manifesto Pemuda BN yang dibuat dengan kualiti tinggi dan persembahan segar oleh Khairy sendiri.

Dalam menuju ke Pilihan Raya Umum ke-14 ini, video ini menjadi video politik paling menarik dan paling tular di media sosial.

Khairy telah banyak muncul dalam video pendek sebelum ini, membawa watak daripada pemandu teksi hingga penjual makanan di gerai.

Lakonan-lakonan mencuit hati orang ramai itu berjaya membina imejnya sebagai seorang yang “sporting” dan sedia mentertawakan diri sendiri.

Kemampuan ini menunjukkan Khairy mempunyai “sense of humor” yang jauh lebih sofistikated kerana tidak ramai yang sedia melakonkan watak-watak seperti itu.

Ia juga menunjukkan Khairy lebih memahami denyut nadi generasi muda, dan tahu apa yang boleh digunakan untuk menyentuh dan menarik perhatian generasi muda.

Ini berbeza dengan parti-parti lain seperti DAP, PAN, PAS dan juga PKR yang berbangga dengan ramainya bilangan pemimpin muda dalam partinya.

Pemimpin-pemimpin muda dalam DAP, PAN, PAS dan PKR nampaknya sudah selesa dengan gaya berpolitik cara lama, termasuk menghadiri acara anak muda dengan berbaju batik dan pulang selepas menyampaikan ucapan.

Pemimpin-pemimpin parti pembangkang itu mungkin mewarisi gaya politik bos-bos mereka, ditambah dengan gaya hidup mereka pun terpisah daripada kebanyakan anggota masyarakat hingga tidak mampu melayan generasi muda.

Yang paling tragis dalam mendekati anak muda ini mungkin PAS, yang lebih selesa dengan golongan mereka sendiri dan agak kekok bila melibatkan masyarakat yang lebih luas.

Contohya sebelum mendapat ketua pemuda yang baharu, Pemuda PAS dipimpin oleh dua orang pemimpin yang nampak tua melebihi umur sebenar mereka.

Imej yang ditonjolkan pun tidak mewakili anak muda dan menjarakkan diri mereka dari anak muda selain golongan “ustaz” yang menjadi pasaran mereka.

Pernah satu ketika pemimpin-pemimpin muda PAS ini menerbitkan video pendek yang sasarannya anak muda, tetapi muncul dengan kekok sekali dan kelihatan sangat “fake.

Ini menunjukkan imej muda ini bukan boleh dibuat-buat, tetapi memerlukan satu jiwa dan keyakinan yang semulajadi.

Lakonan mungkin boleh dilakukan, tetapi jika sekadar lakonan dan kemudian kembali ke diri sebenar yang tidak mesra anak muda, lakonan itu akan tinggal sekadar lakonan dan mungkin akan menerima kecaman.

Kesimpulannya, Khairy pada masa kini mempunyai imej yang paling mesra dengan anak muda, atau mudahnya, pemimpin politik paling cool. – Mynewshub.cc/H