Koon Yew Biadab Hina Askar Hanya Makan, Tidur

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang mencetuskan keadaan tidak tenteram dalam negara terutama membabitkan soal kaum, agama dan juga menghina penjawat awam.

Jika kerajaan bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membiarkan perkara itu berlaku, keadaan bakal menjadi tidak terkawal dan perangai pihak tertentu semakin melampau.

Tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, penghinaan terhadap penjawat awam terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sesuatu yang cukup biadab dan tidak boleh diterima.

ATM katanya, adalah benteng pertahanan negara yang dipandang mulia dan bukan semua rakyat mampu menggalas tanggungjawab tersebut.

Ujar beliau, kenyataan ahli perniagaan yang juga penyumbang dana Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) yang lalu, Koon Yiew Yin dianggap menghina penjawat awam terutama ATM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

“Telah terbukti sejak dahulu lagi jasa ATM tiada tolok bandingnya. ATM telah berjaya mempertahankan negara seperti ketika penjajahan Jepun, pemberontakan dan serangan komunis di mana setiap anggota tentera termasuk juga polis telah berkorban demi rakyat dan negara.

“ATM juga turut terbabit dalam misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dipelbagai tempat di luar negara sama ada untuk menjaga keamanan mahupun mengelak dari berlakunya konfrantasi.

“Saya ingin bertanyakan kepada Koon Yiew Yin, adakah jika negara berada di kancah peperangan, sanggupkah beliau bersama ATM mengangkat senjata mempertahankan negara?” soal beliau menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Koon Yew yang merupakan ahli perniagaan menggesa kerajaan PH mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar.

Beliau turut menyatakan, rasa tertipu sebagai pembayar cukai kerana wang cukai rakyat telah digunakan untuk membiayai sektor perkhidmatan awam yang melebihi kapasiti serta mempunyai tahap bekerkesanan yang rendah.

Menurut Muhammad Khalil, jika hanya pandai bercakap, tetapi belum tentu sanggup berkorban nyawa mempertahankan tanah air, lebih baik diam dan tutup mulut.

Sejarah tamadun dunia sejak dahulu lagi telah membuktikan siapa dan bagaimana manusia yang menjadi pejuang tanah air serta yang menjadi petualang.

“Kata-kata beliau bukan sahaja menghina ATM, tetapi juga menghina peneroka Felda. Ungkapan beliau seolah seperti Felda suatu tempat yang teruk maka layak anggota ATM diletakkan di sana kerana hanya tahu makan dan hidup.

“Tidak kira anggota ATM mahupun peneroka Felda, mereka menyumbang tenaga kepada negara, malah turut mempertaruhkan nyawa.

“Peneroka Felda adalah antara penyumbang terbesar ekonomi negara dengan kepelbagaian produk sawit negara,” katanya.

Katanya, Koon Yew tidak perlu mendabik dada menjadi penyumbang dana kepada parti pemerintah pada PRU, boleh berkata dan menghina sesuka hati. – MalaysiaGazette

Loading...