Kombinasi Pengalaman Pelbagai Bidang, Kepakaran

BARISAN Kabinet baharu yang diumumkan hari ini dianggotai tokoh politik berpengalaman, teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi memastikan Kabinet yang berintegriti, semua anggota dipilih itu sudah melepasi tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya sedar dalam keadaan tidak menentu ketika ini, saudara-saudari berharap kepada kerajaan untuk membantu mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah dihadapi.

“Jadi, menjadi tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri untuk membentuk sebuah Kabinet yang mampu menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa negara kita ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

“Justeru, saya akan membentuk sebuah Kabinet yang memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berfokus dan berkesan, cekap, peduli rakyat, telus dan berintegriti dengan struktur lebih mantap,” katanya ketika Pengumuman Pembentukan Kabinet Baharu di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin berkata, beliau juga akan memastikan barisan baharu ini adalah sebuah Kabinet yang berfungsi serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus.

Sementara itu, katanya, bagi memenuhi keperluan semasa, beberapa kementerian akan distruktur semula.

Beliau berkata, antaranya, Kementerian Pendidikan, yang mana dalam struktur sedia ada dibebani dengan bidang tugas yang amat besar serta mencabar kerana ia meliputi pendidikan dari peringkat pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi.

“Jadi, saya memutuskan untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di samping mengekal dan memperkasakan Kementerian Pendidikan.

“Dengan ini, KPT akan dapat memberikan fokus kepada sektor pengajian tinggi dengan Kementerian Pendidikan memberikan tumpuan kepada pendidikan pra-sekolah, rendah dan menengah,” katanya.

Muhyiddin berkata, Kementerian Perpaduan Negara akan ditubuhkan kerana perpaduan antara pelbagai kaum adalah penentu kelangsungan atau survival negara.

Selain itu, katanya, Kementerian Alam Sekitar akan diwujudkan memandangkan aspek kelestarian alam sekitar juga penting dalam mewujudkan kehidupan lebih sejahtera untuk semua rakyat.

“Kerajaan juga serius untuk menangani isu pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kabinet saya akan memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan diterjemah dalam bentuk dasar dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di negeri Sabah dan Sarawak.

“Justeru, saya akan mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang akan diketuai oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, senarai nama anggota Kabinet yang dipilih ini dengan satu ijtihad beliau untuk kemaslahatan negara.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, Jalankan tugas dengan cemerlang demi rakyat dan negara,” katanya.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati, esok. – myMetro Online

Loading...