Kim Jong-nam Sumber Maklumat CIA

WASHINGTON – Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang dibunuh di Malaysia pada tahun 2017 adalah pemberi maklumat kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), lapor Wall Street Journal (WSJ).

WSJ yang memetik sumber sebagai berkata, banyak perkara tentang hubungan Jong Nam dan CIA tidak jelas.

“Terdapat perhubungan antara CIA dan Kim Jong-nam,” kata sumber tersebut.

CIA enggan mengulas mengenai laporan itu.

“Beberapa bekas pegawai Amerika Syarikat berkata abangnya, yang tinggal di luar Korea Utara selama bertahun-tahun dan tidak mempunyai pangkalan kuasa di Pyongyang, tidak mungkin dapat memberi butiran mengenai kerja dalaman negara rahsia itu,” kata Jurnal itu.

Bekas pegawai-pegawai juga berkata, namun Kim Jong-nam hampir pasti berhubung dengan perkhidmatan keselamatan negara-negara lain, terutamanya China.

Pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengatakan pihak berkuasa Korea Utara telah mengarahkan pembunuhan Kim Jong-nam, yang telah mengkritik pemerintahan dinasti keluarganya.

Namun, Pyongyang menafikan dakwaan itu.

Dua wanita didakwa mengenakan racun ke atas Kim Jong-nam dengan menyimbah agen VX, sejenis senjata kimia pada mukanya di klia2 pada Februari 2017.

Kedua-dua wanita yang didakwa – Doan Thi Huong, warga Vietnam telah dibebaskan pada bulan Mei lalu manakala Siti Aisyah dari Indonesia pada bulan Mac.

Dalam laporan itu, WSJ berkata, sumber mendakwa Jong-nam ke Malaysia pada bulan Februari 2017 untuk bertemu dengan kenalan CIA, walaupun itu mungkin bukan satu-satunya tujuan perjalanannya. – Agensi

Loading...