Khazanah Catat Untung Tinggi Hasil Jualan Aset – Najib

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempersoalkan pengumuman keuntungan oleh Khazanah Nasional dengan berkata, ia merupakan hasil penjualan aset dana pelaburan negara itu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib berkata, walaupun keuntungan Khazanah meningkat, namun nilai asetnya terus menjunam.

Katanya, pada 2016, sewaktu berada di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), aset Khazanah bernilai RM102 bilion dan meningkat kepada RM116 bilion pada tahun berikutnya.

Bagaimanapun kata beliau, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), nilai aset Khazanah jatuh kepada RM91 bilion pada 2018 dan terus merosot kepada RM73 bilion pada 2019.

Terdahulu hari ini Khazanah mengumumkan keuntungan operasi tertinggi berjumlah RM7.36 bilion bagi tahun 2019.

Ini berikutan perolehan pelupusan lebih tinggi dan rosot nilai lebih rendah, selain pulangan portfolio lebih baik.

Najib berkata, terdapat penyokong PH yang mendakwa pencapaian Khazanah itu adalah bukti kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri ke-7 pandai.

“Kena pakai logik sikit. Pasaran saham Malaysia paling corot dalam dunia tahun lepas.

“Mana mungkin prestasi Khazanah akan baik tanpa menjual aset negara secara lambak?”

Beliau berkata, Khazanah tidak bercakap tentang jualan aset, tetapi menggunakan istilah “pelupusan”. – FMT

Loading...