Khalid Ibrahim Sertai Kabinet Jika Anwar Jadi PM

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka menganggotai kabinet jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Pendapat itu dikongsi oleh Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail yang membayangkan rombakan dan perubahan besar dalam jemaah menteri selepas Anwar menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau Anwar masuk sebagai PM akan kita akan lihat banyak perubahan dalam pentadbiran khususnya keahlian kabinet.

“Menteri Kewangan mungkin akan ditambah dan Lim Guan Eng tidak akan digugurkan. Mungkin membawa seorang lagi menteri untuk merancakkan ekonomi negara.

“Fokus saya berkemungkinan besar atas pemikiran Anwar, jika ramalan saya betul, Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin dibawa masuk untuk memulihkan ekonomi..saya sokong Anwar membawa balik Khalid sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya di sini hari ini.

Tambah Shamsubahrin, rekod pencapaian Khalid semasa menerajui Selangor antaranya membawa simpanan kewangan yang lebih untuk negeri serta beberapa penambahbaikan di bawah pentadbirannya yang mendapat pujian rakyat melayakkan bekas wakil rakyat PKR itu menganggotai kabinet.

Justeru katanya, pengalaman luas dan karier awal sebagai tokoh korporat yang berjaya dalam urustadbir kewangan juga antara ciri-ciri yang mampu mengembalikan beliau dalam arena politik.

Khalid mentadbir Selangor dibawah parti PKR dari tahun 2008 hingga 2013 sebelum dipecat kepimpinan tertinggi parti itu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang dan kini Penasihat Ekonomi Terengganu di bawah PAS. – MalaysiaGazette