Kes Zahid Ditangguh, Beri Ruang Bincang Barisan Kabinet

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi ditangguhkan bagi memberi ruang kepada beliau untuk menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya bagi pembentukan Kabinet hari ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh dan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran.

Raja Rozela berkata, pendakwaan mempunyai lima saksi untuk perbicaraan hari ini, namun akan menyerahkannya kepada mahkamah.

“Setakat ini pihak pendakwaan sudah memanggil 39 saksi sejak perbicaraan ini bermula 18 November tahun lalu,” katanya.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 47 pertuduhan di mana 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) menjadikan tuduhan yang dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.

Ahmad Zahid kemudiannya didakwa pada 27 Jun 2019 dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – Sinar Harian

Loading...