Kes Bookie Liga Perdana: Ah Chong Serah Diri

PUTRAJAYA – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khairul Anuar Baharum atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Chong’ hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.

Mantan pemain pertahanan berusia 42 tahun dan berasal dari Terengganu itu dilaporkan muncul bagi memberi keterangan berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Ah Chong yang pernah bermain untuk pasukan Selangor, Polis dan Negeri Sembilan, tiba di pekarangan bangunan SPRM itu kira-kira pukul 10.45 pagi Jumaat dengan diiringi seorang peguam.

Pihak SPRM sebelum ini meminta Ah Chong hadir ke Ibu Pejabat SPRM secepat mungkin bagi membantu proses siasatan berhubung kes mengatur perlawanan liga bola sepak tempatan.

Kes membabitkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA). Ah Chong pernah 36 kali mewakili skuad kebangsaan dari 2001 hingga 2009.

Pada Rabu lalu, tiga pemain MIFA yang ditahan reman selama tujuh hari berhubung kes yang sama bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh Mahkamah Majistret.

Manakala seorang lagi lelaki yang merupakan pekerja kedai barangan logam lusuh dan disyaki bookie bagi kes tersebut namun disambung lagi reman sehingga 17 April depan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau penjara sehingga 20 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi media turut mengesahkan perkara tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...