Kerajaan PH Terpaksa Akui Keperluan Undang-Undang Keselamatan

WALAUPUN dulu sebagai pembangkang mereka menentang habis-habisan akta keselamatan yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional tetapi sekarang sebagai kerajaan Pakatan…

WALAUPUN dulu sebagai pembangkang mereka menentang habis-habisan akta keselamatan yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional tetapi sekarang sebagai kerajaan Pakatan Harapan, mereka meneruskannya, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menulis di Facebook hari ini, katanya beliau masih ingat bagaimana dulu mereka menuduh kerajaan BN dengan pelbagai tuduhan seperti zalim, menindas dan sebagainya.

“Pada masa lalu apabila kerajaan BN meminda ataupun memperkenalkan akta untuk menjaga keselamatan rakyat seperti Akta Pencegahan Jenayah (Poca), deras pemimpin PH bantah,” katanya.

“Berlumba-lumba membuat sidang media.

“Berpuluh kenyataan akhbar serta rencana dibuat, lengkap dengan poster. Lengkap dengan pelbagai perkataan: Kerajaan zalim. rakyat ditindas. saya ialah diktator, kerajaan paling teruk, hak kebebasan rakyat disekat dan sebagainya.

“Rakyat diajak turun ke jalanraya untuk berguling dan bantah bersama mereka dan aktivis-aktivis sehaluan dengan mereka,” kata Najib.

Tuduhan-tuduhan ini diulang untuk Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Sosma, Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya.

Najib berkata, mereka menolak jawapan BN yang menjelaskan akta-akta ini perlu demi menjaga keselamatan dengan mengatakan kerajaan BN menipu.

“Malah dimasukkan sebagai janji manifesto PRU14 bukan kitab mereka untuk memansuhkan segala akta-akta ini.”

Tetapi, kata Najib, keputusan PH meneruskan undang-undang itu mendedahkan penipuan mereka.

“Tetapi apa yang berlaku semalam ialah pengumuman bahawa kabinet kerajaan PH telah meluluskan untuk terus menggunakan semua undang-undang ini.

Jelas Najib, akhirnya terjawab bahawa undang-undang ini perlu untuk menjaga keselamatan rakyat. – Mynewshub.tv

Loading...