Kerajaan Kelantan Perlu Saman Sajat

KUALA LUMPUR – Kerajaan PAS Kelantan digesa bertindak menyaman usahawan kosmetik Muhammad Sajat Kamaruzaman atau Nur Sajat yang berpakaian menyerupai wanita lengkap bertudung ketika menghadiri pesta jualan ‘Mood Republik’ di Kota Bharu, Ahad lepas.

Naib Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Mohd Romizu Mohd Ali berkata, tindakan Nur Sajat itu jelas bertentangan dengan dasar kerajaan negeri yang mengamalkan corak pentadbiran Islam.

“Jadi saya mahu kerajaan PAS Kelantan mengeluarkan saman ke atas Nur Sajat dan ‘gam’ usahawan kosmetik itu dari masuk ke negeri ini,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Menurutnya, bukan itu sahaja pihak penganjur juga perlu turut dikenakan tindakan sebagai pengajaran.

Katanya, jika kerajaan negeri mengambil sikap berdiam diri ia seolah-olah menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Sebelum ini saya lihat Kerajaan PAS Kelantan cukup lantang menolak LGBT, namun bila melihat isu Nur Sajat tiada sebarang tindakan diambil.

“Saya nak tanya, mana corak pentadbiran Islam yang dilaungkan sebelum ini. Adakah sekadar hendak meraih kuasa saja baru nak bercakap soal Islam,” katanya.

Kedatangan Nur Sajat yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri Mood Republik di Kota Bharu kelmarin menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Rata-rata mahu Kerajaan PAS Kelantan mengambil tindakan, namun sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pimpinan negeri.