KUALA LUMPUR – Isteri kepada penyanyi Aliff Aziz, Bella Astillah akhirnya membuka mulut mengenai kontroversi terbaharu suaminya yang didakwa curang dengan seorang wanita bernama Nismell.
Membuat keputusan untuk meneruskan hidup tanpa suaminya lagi, Bella berkongsi kenyataannya ini melalui laman Instagramnya sebentar tadi.
Bella juga menjelaskan, keputusan berpisah ini diambil kerana mahu mempunyai kehidupan yang lebih baik bersama anaknya tanpa Aliff di sisi.
“Saya sangat menghargai jika orang di luar sana berhenti menghantar sebarang pesanan untuk bercakap lebih lanjut tentang isu ini.
“Saya sudah berkongsi apa yang dilalui, dan apa yang saya minta adalah untuk menghormati keputusan saya selain memberi saya waktu dalam melalui waktu sukar ini,” tulisnya pada kapsyen.
Sementara itu menerusi gambar yang tersebar melalui media sosial hari ini, Aliff yang tidak mengenakan baju itu dilihat sedang dipeluk wanita yang dikatakan teman wanita terkininya.
Malah, video yang menampakkan seorang lelaki persis Aliff Aziz turut dilihat menerusi Instastory yang dikongsi oleh Nismell.
Sebelum ini, Bella juga pernah mendedahkan kecurangan suaminya dengan seorang pelakon baharu, Oktavia Manrose menerusi laman Instagram pada Februari lalu.
Malah ini bukan kali pertama Bella berhadapan dengan kecurangan Aliff memandangkan sebelum ini juga dia pernah dikaitkan dengan adik kepada pelakon Anzalna Nasir, Afifah Nasir.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak, Ayden yang kini berusia dua tahun. – UTUSAN ONLINE