Kerajaan Baharu Tanpa Pembangkang?

PETALING JAYA – Perkembangan politik semasa kini dilihat cenderung kepada pembentukan kerajaan perpaduan yang merentasi sempadan parti pemerintah dan parti pembangkang.

“Jika pendekatan kerajaan perpaduan dipilih, maka anggota Kabinet akan dipilih dalam kalangan 221 Ahli Parlimen.

“Malahan, ia bakal merupakan satu barisan Kabinet yang tidak mempunyai ketua-ketua parti,” demikian kata sumber kepada Sinchew Daily.

Dalam pada itu, seorang pengarang kanan Sinchew Daily, Tay Tian Yan pula berkata,  Dr. Mahathir mahu menjadi “Super PM” untuk kerajaan yang tiada parti pembangkang, malahan penggantinya juga ditentukan lebih awal.

Penganalis politik itu berpendapat, rancangan Dr. Mahathir bagaimanapun sedikit tersekat apabila terdapat pemimpin BN, GPS, PAS dan Bersatu yang tidak mahu DAP menyertai kerajaan baharu.

“Oleh itu, beliau telah merajuk dan meletak jawatan sebagai pemimpin Bersatu.

“Ini mewujudkan rasa cemas dalam Bersatu yang mengadakan mesyuarat untuk mengekalkan Dr. Mahathir sebagai pemimpin,” kata Tian Yan yang membayangkan kebanyakan Ahli Parlimen akhirnya akan memberi sokongan kepada Dr. Mahathir ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, PH menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk mengekalkan kuasa sementara “Pakatan Nasional” juga memberi sokongan sama kerana mahu merampas kuasa.

“Mereka mahu memperalatkan Dr. Mahathir untuk mencapai matlamat masing-masing, tanpa menyedari bahawa beliau mempunyai rancangan lebih besar, iaitu mengawal PH dan Pakatan Nasional,” katanya.

Tambahnya, punca tertumbangnya kerajaan PH adalah kerana perletakan jawatan Dr. Mahathir yang menyebabkan Kabinet terbubar dan kerajaan PH berkubur.

“DAP, PKR dan Amanah sepatutnya menyoal Dr. Mahathir kenapa beliau letak jawatan dan benarkan Bersatu keluar PH sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang.

“Yang peliknya sekarang adalah daripada menyoal Dr. Mahathir, mereka menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sambil menuding jari kepada Mohamed Azmin dan sebahagian ahli Bersatu,” kata Tian Yan yang menggambarkan Dr. Mahathir sebagai strategis terhebat dunia.

Sementara itu, Sinchew Daily juga melaporkan, UMNO dan PAS telah menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan baharu, sementara kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak PKR.

Menurut akhbar itu, UMNO, MCA dan PAS pada ketika ini berharap Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Walau bagaimanapun, jika kerajaan baharu dibentuk tanpa melalui pilihan raya, maka tiga parti itu tidak mahu melihat DAP dilibatkan dalam kerajaan tersebut.

Tiga anggota dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP dan Amanah pula hanya akan menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri jika kerajaan baharu yang dibentuk adalah kerajaan PH.

Jika keadaan itu tidak berlaku, maka tiga parti PH tersebut akan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette