Kemelut Politik Tak Jejas Kes Profil Tinggi

PELABUHAN KLANG – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata kemelut politik yang berlaku pada masa ini tidak memberi kesan kepada perjalanan kes berprofil tinggi yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Beliau berkata kes terbabit berada dalam bidang kuasa Peguam Negara dan mahkamah.

“Setakat ini tidak ada apa-apa perubahan, itu proses undang-undang dan ia bukan proses politik yang mana sudah ditetapkan untuk bicara atau yang sedang berbicara, berjalan seperti biasa.

“Tiada sesiapa yang boleh halang, itu bawah Peguam Negara dan kehakiman,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik antara PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, menjadi satu kesalahan jika ada mana-mana pihak mengeluarkan arahan supaya kes berkenaan ditutup atau sebagainya.

Kedudukan kes berprofil tinggi termasuk yang membabitkan beberapa pemimpin politik menjadi perhatian ramai sejak perubahan kerajaan Ahad lalu yang mana mereka meminta tidak ada cubaan menutupnya.

Sementara itu, ditanya sama ada akan ada pertukaran dalam PDRM susulan perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan, Hamid menjelaskan tidak akan berlaku pertukaran jawatan dalam organisasi itu.

Katanya, warga PDRM akan menjalankan tugas seperti biasa mengikut Perlembagaan dan jika ada perubahan atau pertukaran, ia disebabkan ramai pegawai kanan akan menamatkan perkhidmatan pada tahun ini.

Pada majlis itu, PDRM dan Maritim Malaysia memeterai kolaborasi strategik bagi memperkukuhkan keselamatan perairan negara.

Kerjasama berkenaan akan membabitkan perkongsian maklumat, kepakaran, aset, latihan dan modal insan serta operasi bersama.

Abdul Hamid berkata kerjasama itu adalah detik bersejarah untuk PDRM dan akan menjamin keberhasilan kerja serta pelaksanaan tanggungjawab antara kedua-dua pihak.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan itu memberi faedah kepada negara yang mana kejayaan berganda bakal diraih terutamanya dalam tugasan penting seperti pencerobohan perairan negara dan penyeludupan.

“Paling penting adalah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan mendapat faedah menerusi kerjasama ini,” katanya. – BH Online

Loading...