Kekalkan Istilah Semburit – Awang Sariyan

KUALA LUMPUR – Perkataan semburit yang menarik perhatian ramai susulan isu penyebaran video seks didakwa mirip menteri kanan Kabinet yang tular dalam media sosial baru-baru ini tidak perlu ditukar hanya kerana dianggap tidak senonoh atau kurang menyenangkan.

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berpendapat, istilah semburit yang membawa maksud persetubuhan sesama lelaki mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat bertepatan dengan perbuatan buruk yang dilakukan.

Awang malah menjelaskan kata dasar semburit iaitu burit yang membawa maksud buritan bahagian belakang kapal atau pun punggung memang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

“Isu ini memang ada ditimbulkan tetapi pada pendapat saya tiada sebab untuk kita menolak kerana kotor atau tidak perkataan itu sebenarnya mencerminkan maksudnya.

“Kalau kita mengindahkan dengan menukar perkataan sekalipun, perbuatan itu tetap dianggap kotor. Jadi, dalam konteks ini jika kita tukar seolah-olah kita mahu mengesahkan perbuatan buruk itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Walaupun bahasa Melayu terkenal dengan lenggok yang beradab dan sopan, namun Awang menganggap tiada keperluan untuk mengubah perkataan itu kerana terdapat banyak lagi istilah yang turut menggambarkan perbuatan buruk atau lucah.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusof semalam dilaporkan berkata perkataan semburit itu tidak sesuai digunakan kerana ia membawa maksud berbeza terutamanya kepada masyarakat di negeri-negeri utara.

Justeru, Shahanim meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengkaji semula penggunaan perkataan itu dan menukar kepada perkataan lain yang lebih sesuai untuk menggambarkan perbuatan seks sesama lelaki itu. – UTUSAN ONLINE

Loading...